SUKAN

Jumlah wang Pearly-Thinaah dapat selepas aksi Final Terbuka Jepun

Impian pasangan badminton wanita Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah untuk bergelar juara Terbuka Jepun musnah apabila mereka gagal menamatkan dominasi pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu dan Tan Ning dari China di pentas final.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Pearly-Thinaah yang kini di kedudukan ketiga dunia, gagal menyaingi rentak permainan pantas pasangan China tersebut dan terpaksa akur dengan kekalahan straight set 15-21, 14-21 dalam tempoh 45 minit.

Kekalahan ini sekali lagi menyaksikan kegagalan Pearly-Thinaah menewaskan gandingan tersebut selepas empat kekalahan terdahulu, termasuk dalam final Terbuka Indonesia baru-baru ini. Mereka kini hanya mencatatkan tiga kemenangan daripada 12 pertemuan menentang Liu-Tan.

Meskipun tewas, pencapaian sebagai finalis tetap memberi makna tersendiri apabila mereka berjaya menyamai pencapaian beregu lagenda negara, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty yang pernah muncul naib juara di kejohanan sama pada tahun 2008.

Ini juga adalah kali ketiga Pearly-Thinaah muncul naib juara musim ini selepas kejayaan mara ke final di Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia. Mereka turut mencatat kejayaan manis apabila menjulang kejuaraan di Terbuka Thailand pada Mei lalu.

Sebagai finalis, Pearly-Thinaah menerima ganjaran wang tunai AS$33,250 (RM141,182) manakala Liu Sheng Shu dan Tan Ning membawa pulang AS$70,300 (RM298,500) atas kemenangan mereka.

Dengan prestasi yang semakin meningkat, Pearly-Thinaah dijangka terus memberi saingan dalam kejohanan akan datang dan diharap dapat meraih kejuaraan berprestij pada masa hadapan.