SUKAN

Komen tanpa berselindung Pearly punca kekalahan di Final Terbuka Jepun

Aksi penutup Terbuka Jepun menyaksikan pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, sekali lagi menemui jalan buntu apabila bertemu musuh tradisi mereka dari China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning. Harapan untuk bangkit daripada rentetan kekalahan terdahulu tidak kesampaian, apabila mereka ditundukkan secara ‘straight set’, 15-21 dan 14-21 dalam masa 45 minit permainan.

Perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu nyata tidak berpihak kepada Pearly dan Thinaah, yang kini berada di ranking ketiga dunia. Rentetan lima kekalahan berturut-turut kepada lawan yang sama menjadi mimpi ngeri berulang buat gandingan negara itu.

Ini bukan kali pertama pasangan Malaysia itu terpaksa akur dengan keampuhan corak permainan beregu muda dari China. Kekalahan terkini ini turut menyambung siri kegagalan mereka yang bermula dalam empat pertemuan terdahulu, termasuk kekalahan di peringkat separuh akhir Terbuka Indonesia, baru-baru ini.

Menurut Pearly, apa yang berlaku di gelanggang akhir itu jelas memperlihatkan mereka gagal menterjemahkan strategi seperti yang diharapkan.

“Secara jujurnya, rancangan kami tidak menjadi hari ini. Mereka dapat membaca setiap gerakan dan strategi kami. Kami cuba pelbagai pendekatan, tetapi mereka terlalu bersedia,” luah Pearly ketika ditemui sebaik tamat perlawanan.

Tambah beliau, kebolehan Liu dan Tan membaca setiap pergerakan mereka menjadikan usaha membina serangan dan mengekalkan momentum menjadi sia-sia. Apa jua usaha yang dilakukan dilihat seperti sudah dijangka pihak lawan.

“Saya akui, mereka sangat baik dalam membaca rentak kami. Kami tidak berjaya pecahkan corak mereka. Ini satu pengalaman yang perlu kami ambil iktibar dan belajar daripadanya,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Thinaah pula menekankan bahawa aspek mental dan keyakinan turut memainkan peranan penting dalam persembahan di peringkat tertinggi sebegini. Menurutnya, ketenangan dan kepercayaan terhadap kemampuan diri menjadi faktor pembeza.

“Saya rasa keyakinan diri sangat penting, tak kira ketika mendahului atau ketinggalan. Kami perlu percaya dengan pukulan dan keputusan kami. Tapi hari ini, sedikit terganggu,” katanya dengan nada tenang.

Kekalahan kali ini menambahkan lagi rekod cemerlang pasangan China itu ke atas Pearly-Thinaah. Daripada 13 pertemuan, Liu Sheng Shu dan Tan Ning kini mencatatkan 10 kemenangan, suatu angka yang mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara beregu wanita paling digeruni di pentas dunia.

Namun, musim ini masih memberikan sedikit sinar buat wakil Malaysia. Dengan tiga kali mara ke pentas final – di Masters Indonesia, Terbuka Indonesia, dan kini Terbuka Jepun – Pearly dan Thinaah menunjukkan mereka masih mampu memberi cabaran. Kejayaan tunggal mereka musim ini diraih di Terbuka Thailand pada bulan Mei, yang kekal sebagai kemuncak pencapaian setakat ini.

Sebagai finalis di Jepun, mereka membawa pulang hadiah tunai sebanyak AS$33,250 atau kira-kira RM141,182. Manakala, Liu dan Tan selaku juara, pulang dengan ganjaran lebih besar, AS$70,300 bersamaan RM298,500.