SUKAN

TERKINI : Keputusan aksi Pearly-Thinaah di Final

 Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah untuk mengakhiri kemarau kejuaraan Malaysia dalam acara beregu wanita di Terbuka Jepun musnah apabila mereka tewas kepada pasangan Nombor 1 dunia dari China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung sebentar tadi, Pearly-Thinaah tidak mampu menyaingi kehebatan gandingan nombor satu dunia itu yang jelas menguasai keseluruhan aksi.

Sebelum itu, pasangan negara mencuri perhatian apabila berjaya memadam rekod kekalahan kepada beregu Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida di peringkat separuh akhir. Kemenangan tersebut memberikan sinar harapan kepada peminat badminton tempatan untuk melihat Pearly dan Thinaah mengulangi kejayaan gandingan wanita negara pada era terdahulu.

Namun, dalam pentas akhir, realiti cukup pahit buat pasangan negara. Di set pertama, Pearly-Thinaah dilihat sukar mengawal tekanan lawan. Rentak permainan pantas pasangan China berjaya memerangkap mereka. Kesilapan demi kesilapan menyebabkan mata cepat dikejar oleh Liu-Tan dan akhirnya set berakhir dengan kekalahan 21-14.

Set kedua pula menyaksikan usaha gandingan negara untuk bangkit. Mereka cuba menukar taktikal dan bermain lebih berhati-hati. Namun, pasangan China tetap unggul dan terus mendominasi gelanggang. Pergerakan mereka sukar diramal dan kerap membuat Pearly dan Thinaah keliru. Hasilnya, pasangan negara tumbang 21-13.

Kekalahan itu menamatkan cabaran Pearly dan Thinaah sebagai naib juara Terbuka Jepun. Walaupun tewas, prestasi mereka sepanjang kejohanan ini tetap dipuji kerana berjaya mengatasi pasangan Jepun sebelum ini yang menjadi penghalang utama dalam beberapa kejohanan.

Dengan pencapaian ini, Pearly dan Thinaah dijangka akan terus menjadi tonggak utama dalam usaha negara mengembalikan dominasi dalam acara beregu wanita, terutamanya menjelang Olimpik dan Kejohanan Dunia.Pearly-Thinaah dijangka kembali beraksi di Terbuka China bermula selasa ini