Datuk Razif Sidek, ikon badminton negara, menyuarakan pendapat bahawa Kim Won Ho dan Seo Seung Jae bukanlah tidak dapat ditewaskan, sebaliknya peluang tetap ada jika pemain Malaysia menonjolkan kecergasan dan kekuatan mental yang tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa kehebatan utama gandingan Korea Selatan tersebut terletak pada permainan yang kemas, jarang melakukan kesilapan dan sentiasa meletakkan tekanan kepada pihak lawan.
“Memang mereka kini berada pada tahap terbaik. Bukan mudah untuk mana-mana pasangan mengatasi mereka, termasuklah beregu negara kita sendiri.
“Mereka bermain secara konsisten dan memiliki kawalan emosi yang mantap. Untuk menang, kita mesti lebih bertenaga, tahan bermain rali panjang, dan yang paling penting, kurangkan kesilapan sendiri,” jelas beliau.
Kemenangan terbaru Kim-Seo hadir selepas mengalahkan pasangan Malaysia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dalam perlawanan akhir Terbuka Jepun dengan keputusan straight set 21-16, 21-17.
Selain itu, dua lagi beregu negara iaitu Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut menjadi mangsa kehebatan pasangan Korea itu dalam perjalanan mereka ke perlawanan akhir.
Berdasarkan senarai undian bagi kejohanan Terbuka China yang bermula hari ini, terdapat potensi pertemuan semula antara pasangan Malaysia seperti Sze Fei-Izzuddin dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dengan Kim-Seo.
Razif menegaskan pentingnya perubahan strategi dalam corak permainan beregu negara jika ingin bersaing hebat.
“Fei-Din kena tukar pendekatan. Jangan hanya tumpu pada kekuatan belakang. Kena lebih banyak main di bahagian depan dan tengah gelanggang. Dalam masa sama, kekuatan mental juga perlu dipertingkat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pasangan negara berusaha memanjangkan perlawanan ke set penentuan kerana pasangan Korea tersebut dilihat lebih goyah apabila bermain sehingga set ketiga.