SUKAN

TERKINI: Keputusan aksi Azeem Fahmi di Final WUG

Harapan Malaysia untuk melihat Muhammad Azeem Fahmi menaiki podium di acara 100 meter lelaki Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 tidak kesampaian apabila beliau menamatkan perlumbaan akhir di kedudukan keempat.

Dengan catatan masa 10.35 saat – terbaiknya sepanjang kejohanan ini – Azeem terpaksa berpuas hati tanpa sebarang pingat. Catatan tersebut masih belum mampu mengatasi masa terbaik musim ini miliknya iaitu 10.20 saat.

Kejayaan dalam acara tersebut diraih oleh atlet Afrika Selatan, Bayanda Walaza, yang mencatat masa 10.16 saat untuk membawa pulang emas. Pingat perak pula menjadi milik Puripol Boonson dari Thailand (10.22s) dan Hiroki Yanagita dari Jepun meraih gangsa (10.23s).

Sebelum itu, Azeem, pelajar Universiti Auburn di Amerika Syarikat, mara ke final setelah mencatat masa 10.43 saat di peringkat separuh akhir dan menduduki tempat ketiga di belakang Walaza (10.31s) dan Dominik Illovszky dari Hungary (10.32s).

“Saya reda dengan keputusan ini walaupun kecewa. Saya sudah lakukan yang terbaik. Bukan mudah menyesuaikan diri dengan cuaca di Eropah, tapi saya tidak mahu menjadikan itu alasan. Saya akan terus berusaha,” jelas Azeem selepas perlumbaan.

Beliau yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 dan pemegang rekod kebangsaan 10.09 saat, masih mempunyai dua acara lagi iaitu 200 meter dan 4×100 meter yang dijadual berlangsung malam ini dan Sabtu.

Dalam acara lain, atlet 400 meter lelaki, Umar Osman, tidak berjaya mara ke final apabila mencatatkan 47.10 saat – masa paling perlahan bagi beliau musim ini – dan menduduki tempat keenam dalam saringan dua separuh akhir.

Menurut Umar, beliau mengakui kecewa dan bertekad memperbaiki kelemahan menjelang Sukan SEA 2025, selain acara 4×400 meter lelaki dan campuran yang bakal disertainya.

Hizillawanty Jamain pula berjaya merekodkan masa terbaik musim ini iaitu 2:18.45s meskipun berada di kedudukan terakhir dalam saringan dua pusingan pertama acara 800 meter wanita.

Bagi acara 400 meter berpagar wanita, Mandy Goh Li mencatatkan 1:03.12 saat untuk menduduki tempat kelima dalam saringan empat pusingan pertama. Sementara itu, Farrell Glenn Felix Jurus terkandas di pusingan kelayakan lompat tinggi lelaki.