Kekalahan demi kekalahan mula menghantui pasangan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani. Harapan untuk menyaksikan kebangkitan semula dua nama besar dalam arena badminton Malaysia kini menjadi persoalan besar dalam kalangan pemerhati sukan, termasuk bekas pemain kebangsaan yang berpengaruh, Datuk James Selvaraj.
Dalam satu kenyataan terbuka, James tidak berselindung untuk menyatakan bahawa jalan keluar terbaik bagi pasangan ini ialah kembali mendapatkan sokongan daripada struktur latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Sama ada melalui penyertaan semula sebagai pemain BAM atau sekurang-kurangnya menjalani sesi sparring berkala, James percaya ia akan memberi impak positif yang besar.
“Kita ada jurulatih bertaraf dunia seperti Herry Iman Pierngadi dan Rexy Mainaky. Kalau mereka masuk balik BAM, jurulatih sudah ada program yang tersusun,” jelas James, yang juga pernah memegang jawatan penting sebagai Pengarah Prestasi Tinggi BAM.
Namun, beliau juga tidak menolak sekiranya pasangan itu memilih untuk kekal sebagai pemain profesional, tetapi tetap mendapat akses kepada sparring partner berkaliber tinggi seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
“Kalau tak masuk pun tak mengapa. Yang penting, mereka perlukan rakan sparring berkualiti. Itu akan bantu mereka dan bantu juga pemain BAM,” katanya.
Komentar itu hadir selepas aksi hambar pasangan tersebut di Terbuka China, apabila mereka tersingkir awal kepada pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dengan skor 21-15, 15-21, 17-21. Sebelumnya, mereka juga gagal mempertahankan gelaran di Terbuka Jepun selepas tunduk kepada pasangan Korea yang sama, sekali gus kehilangan kedudukan beregu nombor satu dunia.
James melihat kemaraan mereka ke final di Jepun tidak semestinya berlandaskan prestasi unggul. “Sebenarnya mereka masuk final di Jepun itu pun kerana undian memihak kepada mereka,” katanya.
Namun beliau akur bahawa setiap atlet pasti akan melalui fasa kejatuhan, dan masa inilah mereka perlu melakukan penilaian semula. “Jurulatih kena bantu faham kenapa mereka kalah, apa kelemahan dalam permainan dan bagaimana untuk lebih konsisten serta agresif,” tambahnya.
Tempoh sebulan menjelang Kejohanan Dunia di Paris dilihat sebagai waktu paling kritikal buat mereka. James menggesa jurulatih mereka, Teo Kok Siang, agar menggunakan peluang ini sepenuhnya untuk memperkukuh aspek fizikal dan mental pemain.
“Kalau mereka dapat sparring dengan pemain BAM walaupun hanya sekali sebulan pun sudah baik. Tapi sama ada BAM bersedia, itu saya tidak tahu. Apa yang pasti, ia akan beri manfaat dua hala,” ujar James.
Pasangan ini meninggalkan BAM pada September tahun lalu dan memilih jalan sebagai profesional bebas. Musim lalu mereka menjuarai Terbuka Jepun, China dan Artik serta menjadi naib juara Jelajah Dunia Akhir. Tahun ini dimulakan dengan kejuaraan di Terbuka India, tetapi selepas itu prestasi mereka menjunam sebelum muncul naib juara di Jepun.
Walaupun wujud spekulasi bahawa mereka akan kembali ke BAM, namun Sze Fei menafikannya secara terbuka, menyatakan bahawa mereka lebih selesa dengan status semasa.
Kini, tumpuan utama adalah kepada sejauh mana mereka mampu memanfaatkan masa berbaki untuk bangkit sebelum pentas Kejohanan Dunia tiba. Adakah mereka akan membuka semula pintu kerjasama dengan BAM atau kekal dengan laluan sendiri?
Masa akan menentukan, namun jelas daripada pandangan tokoh seperti Datuk James Selvaraj, masih ada jalan untuk kembali cemerlang – asalkan peluang itu dimanfaatkan dengan bijak.