SUKAN

Saya penat, muak — Peter Cklamovski

Dalam kancah bola sepak antarabangsa, pengorbanan demi negara adalah perkara yang sering disorot tetapi jarang dihargai sepenuhnya. Begitu jugalah kisah yang dikongsikan oleh jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, mengenai dedikasi luar biasa yang ditunjukkan pemain Malaysian Abroad demi memastikan skuad kebangsaan terus mara ke pentas Asia.

Peter meluahkan penghargaan dan kekagumannya terhadap semangat perjuangan beberapa pemain utama yang bukan sahaja meninggalkan zon selesa, malah sanggup mengorbankan momen berharga bersama keluarga untuk menyertai kem negara. Salah satu kisah yang menyentuh hati adalah mengenai pemain Machuca.

“Machuca sanggup tinggalkan anaknya yang baru dua hari dilahirkan untuk menyertai kem negara,” ujarnya penuh emosi.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut menyentuh mengenai Holgado, pemain yang perlu menempuh perjalanan sejauh ribuan kilometer sebelum kembali ke kelab sejurus selepas tamat perlawanan.

Kedua-dua pemain ini menjadi simbol pengorbanan sebenar dalam bola sepak. Menurut Peter, inilah bukti yang seharusnya membuka mata semua pihak mengenai tahap komitmen mereka terhadap skuad kebangsaan.

“Kalau ini bukan bukti kecintaan kepada Malaysia, saya tidak tahu apa lagi yang dimahukan,” tambahnya dengan nada kecewa.

Jurulatih itu turut menyentuh fenomena yang berlaku dalam kalangan negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam yang telah lebih awal membuka pintu kepada pemain naturalisasi sebagai strategi memperkukuh skuad masing-masing.

“Lagipun, Indonesia sudah lama menggunakan pemain naturalisasi, dan Vietnam pun sedang ubah dasar mereka,” jelasnya.

Namun begitu, apa yang mengganggu beliau bukanlah soal taktikal di atas padang, tetapi persepsi segelintir masyarakat terhadap pemain warisan negara. Bagi beliau, isu ini seperti tidak pernah tamat biarpun pelbagai penjelasan telah diberikan.

“Secara jujur saya penat dan sudah muak. Ia seolah-olah tiada kesudahan walaupun sudah berminggu-minggu sejak kami menewaskan Vietnam,” katanya.

Peter turut meluahkan kekecewaannya terhadap kelompok yang terus meragui kesahihan status pemain-pemain terbabit.

“Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dibuat untuk membuktikan kesahihan pemain-pemain ini,” luahnya.

Kini, tumpuan beliau sepenuhnya adalah untuk mempersiapkan pasukan menghadapi aksi kelayakan Piala Asia 2027. Malaysia bakal berdepan Laos pada Oktober, manakala aksi menentang Singapura dan Palestin dijadualkan pada September sebagai sebahagian daripada kalendar antarabangsa FIFA.

Peter berharap agar isu-isu luar padang dapat dihentikan demi memberi ruang kepada pasukan berfokus sepenuhnya terhadap persediaan dan prestasi di atas padang.

Bagi beliau, hanya sokongan rakyat mampu menyemarakkan semangat juang pasukan, tidak kira dari mana asal pemain, yang penting mereka berjuang demi nama Malaysia.