Harimau Malaya sudah separuh kaki ke Piala Asia

Apa lagi yang boleh dipersoalkan apabila Harimau Malaya bangkit dengan kemenangan besar 4-0 menentang Vietnam dalam saingan kelayakan Piala Asia? Kejayaan ini bukan sekadar memadamkan keraguan, malah ia menjadi manifestasi kebangkitan sebenar pasukan negara di bawah pimpinan jurulatih baharu, Peter Cklamovski.

Lebih penting, kebangkitan ini tidak berlaku secara rawak. Ia adalah hasil daripada pelan pembangunan menyeluruh yang dipelopori oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. Dalam usaha memperkukuh bola sepak tanah air, Baginda telah menggerakkan transformasi menyeluruh menerusi pelan jangka panjang yang kini mula membuahkan hasil.

Namun begitu, menurut Cklamovski, peminat tidak perlu menunggu bertahun-tahun untuk melihat hasilnya. Pasukan kebangsaan telah menetapkan hala tuju jangka masa pendek yang diyakini akan membawa Malaysia lebih jauh dalam masa terdekat.

“Perbualan mengenai revolusi Harimau Malaya kini semakin hangat. Tetapi perlu diketahui, semua ini berasaskan perancangan jangka panjang oleh Tunku Ismail. Kita sendiri mempunyai misi jangka pendek yang sangat jelas,” ujar Cklamovski.

Beliau menyatakan bahawa Harimau Malaya kini mempunyai sikap baharu — tiada halangan yang tidak boleh diatasi. Misi utama adalah untuk melihat semua pemain membina semangat juang, tekad tinggi dan memperkukuh identiti skuad negara.

Sasaran jangka pendek jelas: mengutip enam mata pada aksi bulan Oktober serta mengekalkan kedudukan teratas Kumpulan F. Impian untuk layak ke Piala Asia 2027 bukan lagi sekadar angan-angan.

“Kita tidak mahu ke Piala Asia hanya untuk merasa bangga sebagai peserta. Kami mahu bawa sesuatu yang lebih bermakna dan mengharumkan nama Malaysia di sana,” tambah jurulatih itu dengan penuh keyakinan.

Dengan kemenangan besar ke atas Vietnam di hadapan ribuan penyokong di Stadium Bukit Jalil, Malaysia kini mendahului carta kumpulan. Berdasarkan unjuran Footyrankings, harapan Harimau Malaya untuk ke Arab Saudi mencecah 79 peratus, satu angka yang meningkatkan moral pemain dan penyokong.

Peningkatan drastik ini membuktikan bahawa revolusi bola sepak negara berada pada landasan yang betul. Sistem pembangunan pemain muda, perancangan taktikal serta kebajikan atlet semuanya diselaraskan dengan objektif utama — melonjakkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Harimau Malaya bukan lagi pasukan yang hanya bergantung pada semangat semata-mata. Kini, pendekatan saintifik, penggunaan teknologi dan pemikiran strategik menjadi tunjang kekuatan pasukan.

Sekiranya trend positif ini berterusan, Malaysia bukan sahaja layak ke Piala Asia 2027, malah mungkin menjadi antara pasukan yang mampu mencabar kejuaraan. Hasrat Tunku Ismail dan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat pasukan kebangsaan berdiri sebaris dengan gergasi Asia kini semakin hampir menjadi kenyataan.