Impian beregu utama badminton lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, untuk merangkul kejuaraan pertama dalam kejohanan Super 1000 BWF terus tertangguh apabila mereka tewas dalam perlawanan akhir Terbuka China hari ini.
Bertarung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Changzhou, pasangan pilihan kedua itu tunduk kepada gandingan bukan pilihan dari Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri dalam dua set pantas, 15-21 dan 14-21, dalam masa hanya 34 minit.
Pasangan Fajar-Shohibul yang merupakan gandingan ‘split’ tetapi sangat serasi, mempamerkan permainan pantas dan penuh keyakinan. Mereka menyekat segala usaha kebangkitan oleh Aaron-Wooi Yik yang ketika ini menghuni tangga kedua dunia.
Kekalahan ini bermakna Aaron-Wooi Yik masih belum berjaya menamatkan kemarau kejuaraan dalam siri kejohanan Super 1000 BWF. Sejak 2022, mereka telah enam kali mara ke final namun semuanya berakhir dengan kegagalan.
Namun begitu, kejayaan mara ke final Terbuka China tetap membawa sinar selepas dua kejohanan sebelum ini menyaksikan mereka tersingkir awal di pusingan pertama di Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun.
Perlawanan bermula dengan langkah kiri buat Aaron-Wooi Yik apabila mereka ketinggalan jauh 1-8. Rentak agresif lawan dan strategi ‘no lifting’ nyata membuahkan hasil buat Fajar-Shohibul. Usaha Aaron-Wooi Yik untuk merapatkan jurang tidak berhasil apabila mereka terus ditekan dan akur dengan kekalahan 15-21 pada set pertama.
Set kedua menyaksikan Fajar-Shohibul meneruskan rentak cemerlang. Mereka mendahului 7-2 sebelum terus menjarakkan kedudukan ke 15-7. Walaupun Aaron-Wooi Yik cuba menghidupkan semula permainan dengan mengutip beberapa mata, namun hantaran terakhir dari Wooi Yik tersangkut di jaring dan menamatkan set kedua dengan keputusan 14-21.
Menariknya, kemenangan ini menjadi lebih bermakna buat pasangan Indonesia apabila mereka mencatat sejarah sebagai pasangan bukan pilihan pertama yang menjuarai Terbuka China sejak enam tahun lalu.
Sebagai ganjaran atas kejayaan itu, Fajar-Shohibul membawa pulang hadiah utama bernilai AS$148,000 (RM624,757). Sementara itu, Aaron-Wooi Yik menerima AS$70,000 (RM295,493) sebagai naib juara.
Walaupun pulang tanpa gelaran, prestasi Aaron-Wooi Yik menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini. Mereka dijangka akan terus menjadi tumpuan dalam kejohanan akan datang.