Pasangan badminton lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, sekali lagi terlepas peluang untuk menjulang trofi berprestij apabila kecundang di pentas akhir Terbuka China. Aksi yang berlangsung semalam menyaksikan mereka ditundukkan pasangan baharu Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri, dalam perlawanan dua set, 21-15 dan 21-14.
Kekalahan ini dilihat sebagai satu lagi episod kekecewaan buat pasangan negara selepas beberapa kali mencuba nasib di pentas akhir kejohanan Super 1000 sebelum ini. Prestasi mengagumkan Fajar dan Shohibul yang baharu digandingkan jelas menjadi faktor utama kekalahan Aaron-Wooi Yik.
Menurut Wooi Yik, mereka sudah menyusun perancangan dan strategi yang teliti sebelum perlawanan. Namun, pihak lawan tampil dengan variasi serangan yang tidak dijangka, sekali gus menyukarkan usaha pasangan negara untuk mengawal permainan.
“Pasangan Indonesia itu bermain dengan sangat baik. Mereka ada banyak variasi pukulan dan sangat kuat dalam tiga pukulan pertama. Gaya permainan mereka sukar diramal dan ia menjadikan kami terkekang untuk beraksi dengan rentak kami sendiri,” ujar Wooi Yik.
Aaron turut mengakui kehebatan lawan dan menjelaskan bahawa kombinasi taktikal serta momentum mereka sepanjang kejohanan sangat menyukarkan peluang Malaysia untuk menyaingi aksi lawan.
“Dalam tempoh seminggu ini mereka menewaskan beberapa pasangan hebat termasuk pilihan utama dunia. Ini jelas menunjukkan mereka dalam keadaan terbaik untuk beraksi. Kami perlukan masa untuk sesuaikan strategi menentang pasangan yang baru digabungkan,” katanya.
Fajar dan Shohibul Fikri mula bermain bersama selepas pasangan masing-masing tidak dapat menyertai dua kejohanan akibat kecederaan. Namun, mereka berjaya membuktikan bahawa kombinasi baharu mampu membawa kejayaan besar apabila menamatkan kempen di China dengan bergaya.
Dalam perlawanan akhir semalam, Aaron-Wooi Yik gagal memberikan tekanan sewajarnya kepada lawan. Taktikal mereka dilumpuhkan sejak awal permainan dan ini menyebabkan perlawanan menjadi milik pasangan Indonesia sepenuhnya.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama pasangan Malaysia itu gagal di pentas akhir. Mereka turut tewas dalam final di beberapa kejohanan lain seperti Seluruh England (dua kali), Terbuka Thailand, serta dua edisi Terbuka China dan Indonesia sebelum ini.
Meskipun berakhir sebagai naib juara, Aaron dan Wooi Yik membawa pulang ganjaran AS$70,000 (RM295,493). Sementara itu, Fajar dan Shohibul Fikri membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak AS$148,000 (RM624,757).