Sorato Shimizu, seorang pelajar sekolah menengah dari Jepun yang baru berusia 16 tahun, kini menjadi bualan dunia selepas mencatat sejarah baharu dalam acara pecut 100 meter bawah 18 tahun.
Dalam suasana sengit Kejohanan Sekolah Menengah Antara Wilayah di Hiroshima, remaja ini mengejutkan semua pihak apabila menamatkan larian dengan catatan masa hanya 10.00 saat. Ia bukan sahaja mengukir rekod baharu dunia bagi kategori usia itu, malah turut menyingkirkan dua nama besar daripada rekod terdahulu.
Christian Miller dari Amerika Syarikat dan Puripol Boonson dari Thailand sebelum ini berkongsi rekod 10.06 saat. Namun, Shimizu yang hadir dengan tekad dan keyakinan tinggi memadamkan nama mereka dalam sejarah dengan satu larian penuh dramatik.
Apa yang lebih menakjubkan, masa yang dicatatkan oleh Shimizu itu mengatasi pencapaian lagenda olahraga dunia, Usain Bolt, ketika beliau masih berusia 20 tahun. Bolt, yang sinonim dengan kelajuan luar biasa, pernah mencatat masa 10.03 saat ketika usianya dua dekad, namun ketika itu beliau lebih menumpukan kepada acara 200 meter.
Kejayaan Shimizu tidak berhenti di situ. Catatan masa 10.00 saat itu juga melonjakkan namanya ke kedudukan kelima sepanjang zaman dalam kalangan atlet pecut Jepun. Lebih membanggakan, beliau kini memegang rekod kebangsaan sekolah menengah Jepun, menggantikan Yoshihide Kiryu yang mencatatkan 10.01 saat pada satu ketika dahulu. Rekod itu telah bertahan selama 12 tahun sebelum dipecahkan oleh Shimizu.
Ketika ditanya mengenai kejayaan luar biasanya, Shimizu menyatakan bahawa dia telah meletakkan sasaran untuk berlari di bawah 10 saat sebaik sahaja layak ke peringkat akhir.
“Saya ingin merasai bagaimana rasanya mencapai catatan sedemikian. Saya berlatih keras dan saya gembira akhirnya usaha saya membuahkan hasil. Mencipta rekod sekolah menengah adalah satu penghormatan,” ujarnya sambil mengukir senyuman.
Prestasi Shimizu bukan sahaja memberi semangat kepada komuniti olahraga di Jepun, bahkan membuka mata dunia terhadap potensi atlet remaja dari Asia. Kini, dengan catatan masa tersebut, beliau telah pun melayakkan diri untuk menyertai Kejohanan Dunia Olahraga yang akan diadakan di Tokyo pada bulan September.
Ramai melihat pencapaian ini sebagai permulaan kepada satu perjalanan gemilang buat Shimizu. Di usianya yang muda, beliau telah menunjukkan kematangan dan keazaman yang tinggi. Jika terus dibimbing dengan baik, tidak mustahil namanya bakal disandingkan dengan jaguh-jaguh dunia seperti Bolt dan Tyson Gay pada masa hadapan.