Dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Malaysia (Liga M) dijangka terus berlanjutan bagi musim 2025/2026, tatkala persiapan rapi dan perancangan berstrategi menyaksikan kelab itu mengorak langkah besar menuju satu lagi musim gemilang.
Pandangan ini dikongsikan oleh penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, yang melihat potensi besar buat Harimau Selatan untuk sekali lagi menjulang kesemua empat kejuaraan domestik — Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih — menjadikannya gelaran ‘quadruple’ buat musim keempat berturut-turut.
Menurut beliau, aspek utama yang membezakan JDT dengan pasukan lain ialah tahap profesionalisme dan komitmen kelab itu dalam menyusun atur skuad. Kehadiran beberapa pemain import dan warisan baharu termasuk Hector Havel dan Joao Figueiredo, memberi isyarat jelas bahawa JDT tidak sekadar mahu bertahan di puncak Liga M.
“Kita dapat lihat bahawa JDT memperlihatkan kesungguhan yang tinggi bukan sahaja dalam arena tempatan, malah mereka mengintai pencapaian lebih besar di pentas Asia, khususnya dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). Mereka tidak mahu hanya berpuas hati berada dalam kelompok 16 terbaik,” ujar Pekan.
Perubahan yang dilakukan oleh JDT turut disifatkan sebagai langkah strategik yang menunjukkan hasrat untuk memperkukuh dominasi mereka. Tambahnya, ini adalah antara sebab utama mengapa JDT dilihat mempunyai kelebihan besar dalam semua pertandingan domestik.
“Rombakan besar dilakukan untuk memastikan skuad lebih mantap. Dalam konteks tempatan, saya anggarkan 90 peratus trofi akan menjadi milik JDT jika mereka kekalkan rentak semasa,” kata beliau lagi.
JDT akan membuka tirai kempen musim baharu pada 8 Ogos dengan perlawanan Piala Sumbangsih menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim. Ia bakal menjadi ujian awal kepada skuad bimbingan pengurusan JDT untuk menunjukkan keupayaan sebenar selepas musim rehat.
Sementara itu, bagi saingan Piala FA, Harimau Selatan bakal bertemu Universiti Malaya Damansara United (UMD United), wakil Liga A1, dalam pusingan 16 terbaik. Meskipun berdepan pasukan berstatus lebih rendah, pengalaman dan keampuhan JDT memberikan kelebihan mutlak kepada mereka.
Pekan turut menyatakan bahawa pesaing tradisional seperti Selangor, Sabah dan Terengganu belum menunjukkan komitmen serius dari segi pembelian pemain bertaraf tinggi. Menurutnya, tiada satu pun dari pasukan-pasukan itu yang memperkenalkan wajah-wajah baharu yang mampu mencabar keutuhan JDT.
“Ada beberapa nama pemain yang berulang, malah ada juga yang berpindah dari satu pasukan ke pasukan lain tanpa perubahan ketara. Ini menggambarkan betapa dominasi JDT sukar digugat,” jelas beliau.
Tambahnya, penyertaan pasukan baharu seperti DPMM FC dari Brunei dalam Liga Super juga tidak membawa ancaman besar kepada Harimau Selatan, memandangkan jurang dari segi pengalaman dan struktur kelab.
Berdasarkan pemerhatiannya, Pekan menyatakan keyakinan tinggi bahawa JDT berupaya sekurang-kurangnya memenangi tiga daripada empat piala yang dipertandingkan. Namun, jika semua berjalan seperti dirancang, tidak mustahil kejayaan menyapu bersih empat trofi sekali lagi menjadi kenyataan.
Dengan kelebihan sumber manusia, pengurusan cekap serta visi jangka panjang yang konsisten, Johor Darul Ta’zim terus menunjukkan contoh kelab bola sepak profesional yang menyeluruh. Seiring musim baharu yang semakin hampir, tumpuan pasti akan terus terarah kepada Harimau Selatan dalam misi mempertahankan takhta bola sepak tanah air.