Sejak mula mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan pada Februari lalu, Herry Iman Pierngadi sudah mencipta impak yang besar. Lima gelaran berjaya dirangkul dalam tempoh hanya enam bulan, satu pencapaian yang cukup membanggakan. Namun begitu, jurulatih yang dikenali dengan gelaran ‘Naga Api’ ini mengakui bahawa beliau masih belum puas.
Terbaharu, pasangan muda berbakat negara, Wan Arif Wan Junaidi dan Yap Roy King, memberikan kejutan manis apabila bergelar juara Terbuka Macau. Dalam aksi akhir yang penuh dengan cabaran, mereka menundukkan wakil Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani dengan keputusan 22-20 dan 21-18. Pertarungan yang berlangsung selama 80 minit itu menyaksikan ketabahan dan fokus menjadi kunci kemenangan pasangan muda ini.
Kemenangan tersebut menambah koleksi kejuaraan buat kem beregu lelaki Malaysia, menjadikan ia gelaran kelima tahun ini di bawah seliaan Herry. Sebelum ini, beliau berjaya membantu pasangan utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mencipta tiga kemenangan penting dalam kejohanan besar seperti Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura. Mereka juga muncul naib juara di Masters Malaysia dan Terbuka China.
Tidak ketinggalan, gandingan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun turut menyumbang satu lagi kejayaan menerusi gelaran juara di Masters Malaysia. Semua ini memberi petunjuk bahawa skuad beregu lelaki negara berada pada landasan yang kukuh di bawah bimbingan Herry.
Namun, apabila ditanya mengenai pencapaian ini, Herry dengan rendah diri menyatakan beliau masih belum berasa cukup. Matlamat utamanya kini ialah untuk melihat wakil Malaysia menggenggam kejuaraan dunia di Kejohanan Dunia 2025 yang bakal berlangsung di Paris pada hujung bulan ini.
“Saya harap kita boleh ada juara dunia tahun ini. Tak kisahlah pasangan mana, yang penting dari Malaysia,” kata beliau penuh semangat.
Sehingga kini, hanya satu gelaran dunia pernah dibawa pulang oleh Malaysia menerusi pasangan Aaron-Wooi Yik di Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo. Kemenangan itu menamatkan penantian panjang negara dalam kejohanan paling berprestij di arena badminton.
Untuk kejohanan dunia kali ini, empat pasangan akan membawa cabaran negara. Tiga daripadanya di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron-Wooi Yik (ranking ke-2 dunia), Wei Chong-Kai Wun (ke-7), dan Wan Arif-Roy King (ke-24). Wakil keempat ialah pasangan profesional, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, yang kini berada di kedudukan keempat dunia.
Dalam perlawanan akhir di Macau, fokus dan kesabaran menjadi kekuatan utama Wan Arif dan Roy King. Herry mendedahkan bahawa keadaan gelanggang yang basah akibat titisan air dari pendingin hawa menjadikan permainan terganggu dan berbahaya.
“Banyak kali permainan kena henti sebab gelanggang licin. Saya cuma pesan supaya mereka terus fokus dan jangan panik. Dalam situasi macam ni, strategi bukan penentu, tapi ketenangan dan ketahanan mental,” ujarnya.
Kemenangan di Macau menjadi detik bermakna buat Wan Arif dan Roy King kerana ini merupakan gelaran pertama mereka di pentas Jelajah Dunia. Ia menjadi pemangkin semangat untuk persiapan mereka menjelang Kejohanan Dunia.
“Mereka memang layak menang. Ini permulaan yang baik dan semoga mereka lebih yakin di pentas lebih besar nanti,” tambah Herry.
Lebih manis lagi, kejayaan ini turut menamatkan kemarau selama 12 tahun Malaysia tanpa gelaran beregu lelaki di Macau sejak kali terakhir dimenangi pasangan Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong pada 2013.
Walaupun pencapaian pasukan ketika ini cukup baik dan konsisten, Herry tidak mahu terlalu selesa. Beliau berharap agar pada masa depan, lebih ramai pasangan dari Malaysia mampu memberi saingan di peringkat tertinggi.
“Saya nak lebih dari ini. Harapan saya adalah kita boleh lahirkan lima atau enam pasangan yang mampu cabar gelaran. Sekarang baru dua tiga pasangan. Mungkin tahun depan akan ada hasil lebih baik,” jelas beliau.