SUKAN

Juan Muniz sah ‘angkat kaki’

Juan Muniz Tamat Khidmat Bersama JDT, Luah Rasa Terima Kasih Dalam Hantaran Instagram

Selepas tiga musim bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), pemain import dari Sepanyol, Juan Muniz mengumumkan secara rasmi bahawa beliau tidak lagi bersama kelab Harimau Selatan.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi laman Instagram miliknya, dengan satu ucapan penuh emosi dan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan beliau di Malaysia.

Dalam kenyataan itu, Muniz berkata: “Selepas tiga tahun yang tidak dapat dilupakan, sudah tiba masanya untuk menutup satu bab yang sangat istimewa dalam hidup saya.”

Beliau secara khusus mengucapkan terima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Pengarah Sukan, Kiko Insa, kerana memberikan kepercayaan serta peluang beraksi bersama JDT.

“Terima kasih yang tulus ikhlas kepada Bos @hrhcrownprinceofjohor dan Pengarah Sukan @kikoinsabohigues kerana mempercayai saya sejak hari pertama,” tulis Muniz.

Muniz turut menghargai sokongan yang diterima daripada barisan kejurulatihan, rakan sepasukan dan penyokong setia JDT sepanjang tempoh tersebut.

“Terima kasih juga kepada rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan semua penyokong kerana menjadikan perjalanan ini begitu luar biasa. Johor akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya. Jumpa lagi di masa hadapan!”

Sepanjang tiga musim bersama kelab, Muniz tidak sekadar beraksi cemerlang malah mencipta memori manis dalam beberapa kejohanan penting. Salah satu pencapaian yang paling diingati adalah ketika beliau menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Selangor yang berkesudahan JDT menang 6-1.

Prestasi luar biasa itu menyumbang kepada beliau dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir tersebut, sekali gus menonjolkan kualiti sebenar Muniz sebagai tonggak tengah yang berkaliber.

Bahkan, beliau turut tersenarai sebagai calon akhir kategori Pemain Import Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2024-2025. Walaupun gelaran itu akhirnya dimenangi oleh Bergson da Silva, Muniz tetap menerima penghargaan besar daripada penyokong dan pemerhati bola sepak tanah air.

Pemergian Muniz pastinya dirasai, memandangkan peranannya sebagai penggerak utama di jentera tengah serta kepimpinan dan pengalamannya di padang.

Kini, perhatian tertumpu kepada hala tuju seterusnya dalam kerjaya pemain berusia itu, sama ada akan meneruskan karier di liga lain atau memilih haluan baharu.

JDT kehilangan seorang lagi pemain berprofil tinggi, namun legasi yang ditinggalkan Muniz pasti akan dikenang.