Secara logiknya, Final Kejohanan dunia dalam tangan

Legenda badminton Malaysia, Datuk Razif Sidek, memberikan amaran awal kepada dua pasangan beregu utama negara — Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah — supaya meningkatkan usaha membuat kajian terperinci terhadap lawan menjelang Kejohanan Dunia di Paris, Perancis, yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Dengan kedudukan di ranking kedua dunia, kedua-dua pasangan ini akan turun sebagai pilihan kedua kejohanan. Keadaan itu mungkin memberi laluan undian yang lebih baik, namun Razif menegaskan ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk berasa selesa.

“Logiknya mereka layak mara ke final. Tetapi, itu bergantung kepada tahap latihan, strategi permainan, kekuatan mental serta fizikal,” jelas beliau.

Bagi beregu lelaki, Aaron-Wooi Yik dijangka berdepan saingan getir daripada gandingan nombor satu dunia Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae. Razif yang pernah bergelar naib juara dunia pada 1987 bersama Datuk Seri Jalani Sidek percaya pasangan Korea itu tetap memiliki kelemahan yang boleh dijadikan peluang.

“Setiap pasangan ada kelemahan. Pertahanan mereka tidak sempurna. Pemain perlu mengumpul maklumat itu dan menggunakannya untuk memenangi perlawanan,” tegasnya.

Skuad beregu lelaki Malaysia kali ini menampilkan kekuatan dengan empat wakil — selain Aaron-Wooi Yik, terdapat Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (pilihan ketiga), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (pilihan ketujuh) dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.

“Peluang sebegini tidak selalu hadir. Apabila satu negara ada empat pasangan, potensi ke final adalah lebih tinggi,” kata Razif.

Dalam kategori beregu wanita, Pearly-Thinaah dijangka berdepan cabaran hebat daripada Liu Sheng Shu-Tan Ning dan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dari China. Statistik menunjukkan Pearly-Thinaah hanya menang tiga daripada 12 pertemuan menentang Sheng Shu-Tan Ning, dan sekali sahaja mengatasi Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.

Menurut Razif, keupayaan fizikal dan kemahiran taktikal pemain negara tidak jauh berbeza dengan lawan, namun pendekatan strategi yang bijak perlu diutamakan. “Kena kaji kelemahan lawan, berbincang dengan jurulatih dan menonton rakaman perlawanan. Itu kunci untuk menang,” katanya.

Selain itu, Malaysia turut menurunkan pasangan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dalam acara beregu wanita, yang akan beraksi buat pertama kali di pentas dunia.

Kategori beregu campuran menyaksikan tiga gandingan negara iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (pilihan keempat), Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (pilihan keenam) dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (pilihan ke-13).

Dalam acara perseorangan, tiada pemain Malaysia yang mendapat status pilihan kerana hanya kelompok 16 terbaik dunia layak menerima kedudukan tersebut. Leong Jun Hao dan Lee Zii Jia akan menggalas cabaran dalam perseorangan lelaki, manakala K Letshanaa dan Goh Jin Wei mewakili perseorangan wanita.