TERKINI : Keputusan aksi Kuching City berdepan Kelantan TRW

Kuching City FC memulakan saingan Liga Super musim 2025/26 dengan langkah penuh meyakinkan apabila meraih kemenangan 4-0 ke atas Kelantan The Real Warriors (TRW) di Stadium Negeri, malam ini.
Kemenangan tersebut memberi suntikan awal kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang kini berada di puncak carta liga selepas perlawanan pembukaan.

Perlawanan bermula dengan tekanan awal daripada pasukan pelawat. Pada minit kedua, sepakan percuma Ifedayo Olusegun hampir menghadiahkan gol pembukaan kepada TRW apabila bola terkena palang. Alexandre Primael Yeoule kemudian cuba menyudahkan peluang itu dengan tandukan, tetapi percubaannya tersasar tinggi.
Kuching City yang tersentak segera bertindak balas dan berjaya menemui gol pertama seawal minit kelima menerusi sentuhan Ronald Ngah Wanja, sekaligus mengubah kedudukan menjadi 1-0.

Pada minit ke-18, Joao Pedro memperkukuh kedudukan tuan rumah dengan gol kedua hasil satu sungkitan kemas yang memperdayakan penjaga gol Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.
TRW berpeluang merapatkan jurang pada minit ke-42, namun usaha Ifedayo menerusi tandukan disekat kemas oleh Daniel Amier Norhisham di garisan gol. Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat babak pertama.

Bersambung di separuh masa kedua, Ngah Wanja terus menjadi duri dalam daging buat TRW apabila menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-71. Kali ini, rembatan penyerang import itu menewaskan penjaga gol gantian, Damyanov Damyan Valeriy, menjadikan skor 3-0.
Menjelang tamat perlawanan, Ramadhan Saifullah memastikan kemenangan besar buat tuan rumah dengan gol keempat, menutup malam cemerlang KCFC.

Dengan keputusan ini, Kuching City memulakan musim dengan penuh keyakinan. Sementara itu, TRW akan cuba bangkit dalam perlawanan seterusnya menentang Imigresen FC di laman sendiri pada Selasa hadapan.