TERKINI : Malaysia terpaksa lupakan khidmat Imanol Machuca

Harimau Malaya berkemungkinan kehilangan khidmat penyerang sayap berdarah warisan, Imanol Machuca, untuk aksi antarabangsa pada jendela FIFA bulan depan.

Pemain kelab Argentina, Velez Sarsfield itu dijangka terikat dengan komitmen bersama pasukannya yang bakal turun ke padang menentang Central Cordoba pada final Piala Super Argentina, 6 September ini. Tarikh perlawanan tersebut bertembung dengan jadual aksi persahabatan skuad kebangsaan.

Machuca sendiri mengakui berada dalam dilema mengenai keputusan sama ada mahu memohon pelepasan atau kekal bersama kelabnya. “Mengenai aksi antarabangsa bulan September, saya masih berbelah bahagi untuk meminta pelepasan kerana ia bertembung dengan aksi final Piala Super Argentina,” katanya menerusi wawancara di audio siar Sabado Velez di YouTube.

Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, sebelum ini mengesahkan pasukannya akan berdepan Singapura dan Palestin pada aksi persahabatan bulan depan. Kedua-dua perlawanan ini menggantikan penyertaan Malaysia dalam kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang dibatalkan penyertaannya.

Machuca yang membuat penampilan sulung bersama Malaysia pada Kelayakan Piala Asia 2027, Jun lalu, menyatakan rasa bangga dan teruja untuk kembali membantu pasukan. “Saya ada menghubungi jurulatih dan harap mereka akan memanggil saya lagi dalam skuad kebangsaan selepas mengharungi pengalaman yang luar biasa pada Kelayakan Piala Asia 2027,” katanya.

Pada aksi debut di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, walaupun tidak menyumbang gol, Machuca tetap mempamerkan corak permainan mantap dan membantu pasukan mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam.

Dengan prestasi tersebut, peminat pastinya mengharapkan kelibat Machuca dalam perlawanan antarabangsa seterusnya. Namun, keputusan akhir bergantung kepada persetujuan Velez Sarsfield untuk melepaskannya bagi tugasan kebangsaan atau mengekalkan khidmatnya demi misi domestik mereka.