Sejarah tercipta buat Kuala Lumpur City FC (KL City) apabila mereka menamatkan penantian 30 tahun untuk meraih kemenangan tanpa bolos dalam aksi pembukaan Liga Super, selepas menundukkan Imigresen FC 3-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang.
Jurulatih Risto Vidakovic menganggap kemenangan itu sebagai pencapaian penting buat pasukan, apatah lagi ia diperoleh di gelanggang lawan pada hari pertama musim 2025/2026.
“Saya gembira dengan keputusan ini. Ia sangat penting selepas hanya sebulan pramusim dan gabungan pemain yang dibentuk dalam masa singkat. Untuk mencapai sesuatu yang istimewa seperti ini bukanlah mudah,” katanya selepas perlawanan.
Selama tiga dekad, KL City sering memulakan musim dengan kekalahan. Namun kali ini, mereka tampil dengan permainan tersusun dan bertenaga, memastikan tiga mata penuh menjadi milik skuad Warga Kota.
“Saya fikir kami tidak pernah menang perlawanan pembukaan sejak 30 tahun lalu. Jadi kemenangan ini sangat bermakna untuk menaikkan keyakinan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai pemain baharu,” kata Vidakovic.
Jurulatih itu turut menegaskan pasukan masih dalam proses membina keserasian antara pemain lama dan baharu. Dengan hanya beberapa orang yang pernah bermain bersama musim lalu, proses pembentukan pasukan memerlukan masa.
“Bukan mudah membina pasukan baharu. Kebanyakan pemain hanya dapat dikumpulkan selepas dua minggu latihan. Namun mereka menunjukkan komitmen tinggi. Saya yakin kami akan menjadi lebih baik setiap hari,” jelasnya.
Mengulas perlawanan seterusnya menentang Sabah FC di laman sendiri, Vidakovic berkata fokus utama kini adalah pada rehat dan pemulihan pemain sebelum memikirkan strategi baharu.
“Saya belum ada perancangan. Kita perlu berehat dahulu sebelum membuat persiapan untuk perlawanan akan datang,” ujarnya.
Kemenangan bersejarah ini memberi gambaran awal bahawa KL City mungkin menjadi pencabar utama musim ini, dengan barisan pemain baharu yang berpotensi mengubah nasib kelab.