‘Cakaplah apa pun, fokus kami hanya skuad kebangsaan bukan liga’

Presiden Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir, tampil menjelaskan bahawa organisasi yang diterajuinya memberi fokus sepenuhnya kepada pembangunan pasukan kebangsaan, manakala pengurusan liga tempatan adalah di bawah tanggungjawab Liga Indonesia Baru (LIB).

Erick berkata, LIB telah diberikan peranan khas untuk mengendalikan dan menyelia semua pertandingan bola sepak domestik. Justeru, PSSI menumpukan sepenuh perhatian kepada memastikan skuad kebangsaan berada pada tahap tertinggi.

Kenyataan itu telah mengundang pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak Indonesia. Ada yang bersetuju dengan langkah tersebut kerana percaya kejayaan pasukan kebangsaan akan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Namun, tidak kurang juga yang mempersoalkan sama ada wajar bagi PSSI mengabaikan isu-isu yang melanda liga tempatan.

Walaupun pendekatan Erick menuai kritikan, beliau tetap mendapat pengiktirafan atas kejayaan membawa masuk bintang warisan untuk memperkuat skuad Sang Garuda. Langkah ini dilihat sebagai strategi berkesan dalam meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.

Namun, penyokong tetap menggesa beliau turut memerhati keadaan liga domestik. Mereka bimbang tanpa liga yang mantap, pembangunan pemain baharu akan terjejas dan memberi kesan kepada pasukan kebangsaan dalam jangka panjang.

Dalam responsnya, Erick menegaskan bahawa beliau mahu meletakkan standard pasukan kebangsaan Indonesia setaraf dengan gergasi bola sepak dunia. Katanya, meskipun ada liga yang lebih bernilai berbanding skuad kebangsaan, beliau mahu memastikan pasukan kebangsaan berada pada tahap yang lebih tinggi.

“Ada liga yang nilainya lebih tinggi berbanding pasukan kebangsaan itu sendiri. Namun, saya mahu pasukan kebangsaan Indonesia berada di tahap lebih tinggi supaya kita tidak ketinggalan,” kata Erick.

Beliau juga menolak kebimbangan bahawa fokus ini akan memberi kesan negatif kepada bola sepak negara. Erick yakin visi yang dibawanya bersama ‘Team Nasional’ mampu membentuk sebuah empayar bola sepak yang disegani di pentas dunia.

Ketika diminta mengulas mengenai tuduhan bahawa PSSI tidak mengendahkan liga, Erick secara terbuka berkata: “PSSI tidak cakna dengan liga? Ya, biarkan sahaja. Kerana saya lihat seluruh dunia setiap persatuan hanya menjaga pasukan kebangsaan.”

Pendekatan tegas ini menunjukkan bahawa di bawah pimpinan Erick Thohir, PSSI memilih untuk mengutamakan kejayaan pasukan kebangsaan sebagai simbol kekuatan bola sepak Indonesia. Namun, perbahasan mengenai keseimbangan antara liga tempatan dan pasukan kebangsaan dijangka terus menjadi topik utama dalam kalangan pemerhati sukan negara itu.