Ketua jurulatih JDT beri amaran keras

Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menundukkan Negeri Sembilan 5-3 dalam aksi penuh dramatik Liga Super minggu kedua di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi, namun jurulatihnya, Xisco Munoz, mengakui berlaku kesilapan pada permulaan perlawanan.

Harimau Selatan yang baru sahaja menjuarai Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Selangor 3-0, turun dengan misi mempertahankan rekod kemenangan. Namun, segalanya tidak berjalan lancar apabila Negeri Sembilan memanfaatkan ruang di bahagian pertahanan untuk menjaringkan dua gol awal dalam tempoh 20 minit pertama.

Ketinggalan dua gol di laman sendiri memaksa Xisco melakukan rombakan taktikal segera. Beliau memasukkan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia (Liga-M), Arif Aiman Hanapi, serta pemain tengah berpengalaman, Afiq Fazail, bagi mengubah rentak permainan.

Langkah itu membuahkan hasil apabila serangan JDT menjadi lebih bertenaga. Dua gol berjaya dihasilkan sebelum tamat separuh masa pertama untuk mengikat kedudukan 2-2. Memasuki separuh masa kedua, JDT tampil lebih garang dengan Irazabal meledak gol ketiga pada minit ke-57, diikuti jaringan Arif Aiman seminit kemudian.

Negeri Sembilan cuba mencari gol tambahan, tetapi JDT terus menekan dan mengukuhkan kedudukan dengan gol kelima. Perlawanan berakhir dengan kemenangan 5-3 memihak tuan rumah, sekali gus mengesahkan tiga mata berharga.

Bercakap selepas perlawanan, Xisco menjelaskan, “Ia adalah saat yang berbeza buat kami ketika 20 minit pertama permainan. Seharusnya kami perlu hadir dengan tahap yang sepatutnya kami lakukan sebelum ini. Ini adalah suatu perkara yang sangat penting. Kami perlu meneruskan apa yang kami buat. Kami perlu memahami cara untuk memulakan aksi. Semalam merupakan kesilapan tentang bagaimana kami bermula, tetapi kami harus belajar supaya ia tidak berulang kembali.”

Kejayaan ini memastikan JDT kekal di landasan positif, namun Xisco menegaskan bahawa keupayaan bermula dengan mantap adalah kunci untuk mengekalkan kejuaraan.