Sabah FC gagal memanfaatkan peluang bermain di hadapan penyokong sendiri apabila hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini. Ia sekali gus memaksa Sang Badak sekadar berpuas hati dengan satu mata dalam perlawanan pertama mereka di gelanggang sendiri musim ini.
Perlawanan bermula dengan tempo sederhana, namun Sabah berdepan cabaran sukar apabila setiap percubaan mereka berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Kelantan. Disiplin bertahan pelawat cukup tersusun, menyebabkan ruang untuk penyerang tuan rumah melakukan penyudah hampir tiada.
Pada minit ke-25, Sabah hampir meraih gol pembukaan menerusi Darren Lok, tetapi percubaannya dibatalkan kerana ofsaid. Keadaan yang sama turut menimpa Muhammad Jafri Firdaus Chew pada minit ke-33 dan pemain import baharu, Fergus Tierney, tidak lama selepas itu. Deretan peluang tersebut menjadi bukti betapa barisan serangan Sabah kurang bernasib baik di babak pertama.
Kelantan TRW tidak ketinggalan memberi tentangan apabila berjaya melakukan dua hingga tiga serangan balas. Bagaimanapun, benteng Sabah kekal fokus untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi. Keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, tuan rumah tampil lebih garang dengan asakan bertali arus. Beberapa peluang hadir melalui sepakan percuma dan sudut, namun percubaan itu gagal menghasilkan gol.
Sabah hampir menceriakan penyokong pada minit ke-63 apabila Darren Lok berada dalam situasi satu lawan satu menentang penjaga gol Kelantan, Damyanov Damyan. Bagaimanapun, percubaan tersebut berjaya dipatahkan dengan penuh cemerlang. Hanya dua minit berselang, Jafri pula cuba mencipta sesuatu, namun sekali lagi Damyan bertindak pantas menafikan cubaan tersebut.
Detik paling hampir untuk Sabah muncul pada penghujung permainan menerusi lorongan cantik Muhammad Farhan Roslan yang disambar Azhad Harraz Arman di depan gawang. Namun, keceriaan itu bertukar kecewa apabila Azhad dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Selepas 90 minit penuh, kedua-dua pasukan terpaksa akur dengan keputusan seri tanpa jaringan. Walaupun Sabah memperoleh satu mata, keputusan itu tidak seiring harapan mereka untuk menjadikan Stadium Likas sebagai kubu kebal sejak awal musim.