Lee Zii Jia akhirnya tampil dedah kepada BWF

Selepas berehat panjang akibat kecederaan, perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia akhirnya membuka cerita mengenai tempoh sukar yang dilaluinya. Pemain berusia 27 tahun kelahiran Alor Setar itu terpaksa melupakan pentas kompetitif hampir setengah tahun selepas pergelangan kaki kanannya cedera di Kejohanan Seluruh England pada Mac lalu. Ketiadaan itu bukan sahaja menjejaskan prestasi, malah turut memberi kesan besar terhadap kesihatan mentalnya.

Dalam wawancara bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia mendedahkan dirinya berdepan kemurungan sepanjang lima bulan tanpa kejohanan. “Saya bukan sahaja berdepan kecederaan, tetapi juga tekanan emosi. Ia menyebabkan saya mengalami sedikit kemurungan,” ujarnya yang kini sedang bersiap menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Paris.

Ketika berada dalam situasi itu, beliau cuba mencari jalan keluar dengan melakukan pelbagai aktiviti baharu. Zii Jia berkata dirinya mula menjadikan seni sebagai medium terapi, malah berkongsi lukisan hasil tangannya di laman Instagram. Menurutnya, melukis dan mendalami dunia seni membantunya menyalurkan emosi yang sukar diluahkan dengan kata-kata. “Saya menjadi agak taksub dengan seni. Ia membantu saya mencari keseimbangan sepanjang pemulihan,” katanya.

Selain seni, beliau turut mencuba aktiviti mencabar seperti terjun udara di Dubai. Pengembaraan ke muzium seni di Abu Dhabi serta membaca pelbagai buku juga menjadi sebahagian daripada usahanya mengalih perhatian daripada kesakitan dan tekanan yang dirasai. Zii Jia menggambarkan ia sebagai satu “perjalanan penyembuhan solo” yang membolehkannya melihat hidup dari perspektif berbeza.

Lebih penting, tempoh tanpa kejohanan itu memberi ruang untuknya lebih mengenali diri sendiri. “Saya belajar bagaimana menangani perasaan saya, cara mengawal reaksi, dan yang paling utama, memahami diri saya dengan lebih baik,” ujarnya. Bagi Zii Jia, pengalaman itu membuka peluang untuk menilai kembali kehidupannya di luar badminton, sekali gus menekankan kepentingan kesihatan mental seorang atlet.

Kini, dengan semangat baharu, beliau kembali ke gelanggang dengan matlamat yang lebih jelas. Bagi Zii Jia, Kejohanan Dunia kali ini bukan semata-mata tentang kejuaraan, tetapi lebih kepada menikmati permainan tanpa dibebani kecederaan. “Saya rasa bertuah kerana dapat melalui semua ini dan kembali bersaing. Yang paling penting ialah saya mahu menikmati permainan serta kekal bebas daripada kecederaan,” katanya.

Perjalanan getir yang dikongsikan oleh Zii Jia menjadi bukti bahawa cabaran seorang atlet bukan sahaja pada prestasi fizikal, tetapi juga emosi. Dengan kekuatan baharu hasil pengalaman peribadi, beliau berazam untuk kembali mengukir nama di persada antarabangsa.