Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, terus menjadi tumpuan selepas tersingkir awal di Kejohanan Badminton Dunia di Paris. Kekalahan di pusingan pertama itu sekali lagi menimbulkan perdebatan mengenai masa depan kariernya, dan bekas pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj, tampil memberi pandangan bahawa Zii Jia perlu kembali fokus terhadap badminton.
Dalam aksi pembukaan, pemain berusia 27 tahun itu yang kini menghuni ranking ke-52 dunia tunduk kepada perseorangan Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin, yang berada di ranking ke-38 dunia. Perlawanan tersebut berlangsung selama 41 minit dengan keputusan straight set 17-21, 11-21, sekali gus menyekat langkahnya daripada mara lebih jauh.
James berkata, dari segi pakej fizikal dan kemampuan, Zii Jia tidak kurang hebatnya berbanding pemain elit lain. Malah, beliau menegaskan, ketinggian, kekuatan pukulan, kelajuan serta pengalaman antarabangsa sudah pun ada pada pemain itu. Namun begitu, katanya, aspek fokus dan mental sering menjadi punca kepada prestasi yang tidak konsisten. Beliau turut menyentuh mengenai aktiviti luar gelanggang, termasuk modeling, yang mungkin mempengaruhi komitmennya terhadap badminton.
“Dia ada segalanya, tetapi kalau mental dan fokus tidak seiring, prestasi tetap tidak akan kemana. Saya lihat dia terlalu banyak gangguan dari luar. Kalau betul serius mahu kembali, dia mesti tetapkan hala tuju kariernya,” jelas James ketika ditemui BH Sukan.
Sebagai bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, James juga melihat kecederaan buku lali yang dialami sejak penghujung tahun lalu sebagai faktor utama yang menghalang kebangkitan Zii Jia. Walau bagaimanapun, beliau yakin peluang masih ada sekiranya pemain itu berusaha lebih keras dan bersungguh-sungguh dalam latihan. Tambahnya, peranan jurulatih, Yeoh Kay Bin, juga penting untuk membantu mengatasi kelemahan terutama ketika permainan di jaring.
“Kalau mahu terus bermain, dia kena gandakan latihan, tingkatkan kecergasan dan kepantasan. Bila saya lihat dia beraksi kelmarin, nampak agak longlai, terutamanya di depan jaring. Itu perlu diperbaiki segera,” tegas James.
Kejohanan Dunia di Paris kali ini menjadi kemunculan pertama Zii Jia selepas lebih lima bulan direhatkan akibat kecederaan buku lali. Sebelum ini, dia cuba kembali di Orleans Masters dan All England pada Mac, tetapi kecederaan kembali berulang sehingga dia terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan utama lain termasuk di Amerika Syarikat, Jepun, dan China. Namun, slot ke Paris masih diberikan menerusi perlindungan ranking BWF kerana ketika itu kedudukannya berada dalam kelompok sembilan terbaik dunia.
Menariknya, sehari sebelum aksi pertama, Zii Jia mendedahkan dia mengalami sedikit kemurungan sepanjang tempoh lima bulan tidak dapat beraksi. Kekangan itu menimbulkan keraguan terhadap masa depan kariernya, sekali gus menambahkan tekanan menjelang kejohanan besar. Namun, selepas kekalahan, dia tampil memohon sokongan daripada peminat agar terus bersabar dan memberinya masa untuk bangkit.
“Saya harap peminat bersabar, bukan sahaja demi mereka tetapi juga untuk diri saya sendiri. Saya percaya saya mampu kembali ke tahap terbaik,” ujar pemain yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu.
Kegagalan kali ini sememangnya meninggalkan tanda tanya besar tentang hala tuju Zii Jia. Sama ada dia kembali memusatkan perhatian kepada badminton atau terus diganggu dengan komitmen luar gelanggang, hanya masa dan kesungguhan akan menentukan.