Kejohanan Dunia : Aaron-Wooi Yik kini tampil lebih matang

Gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, hadir dengan semangat baharu dalam misi mereka menawan semula pentas Kejohanan Dunia BWF. Pernah bergelar juara dunia pada tahun 2022, pasangan ini kini menekankan motivasi tinggi untuk bangkit setelah melalui cabaran yang menduga konsistensi permainan mereka.

Aaron mengakui kehadiran jurulatih berpengalaman, Herry Iman Pierngadi, banyak memberi kesan besar kepada prestasi mereka. Katanya, sentuhan magis Herry bukan sahaja memberi nafas baharu kepada strategi permainan, malah membantu menguatkan mental mereka ketika berdepan detik genting. “Dia memberikan kami banyak pengalaman cara mengatasi detik yang sukar itu,” jelas Aaron.

Menurut beliau, cabaran paling mencabar buat pasangan beregu bukan sekadar daripada pihak lawan, tetapi juga tekanan dalaman. Ketika perlawanan sampai ke mata penentuan, kawalan emosi sering menjadi ujian sebenar. Kehadiran Herry memberi panduan jelas tentang bagaimana menguruskan tekanan dan mengelakkan kesilapan mudah.

Bagi Soh Wooi Yik, perjalanan selama tiga tahun sejak bergelar juara dunia telah banyak mendewasakan mereka. Beliau mengimbas kembali pengalaman ketika mereka sering melakukan kesilapan mudah atau ‘unforced error’ akibat gementar. Namun, perubahan nyata dapat dirasai sejak berada di bawah tunjuk ajar jurulatih baharu.

“Kami menjadi lebih matang selepas tiga tahun sebelum ini, kami semakin kuat sekarang dan perlu terus konsisten,” katanya penuh yakin. Beliau menekankan bahawa aspek komunikasi antara rakan sepasukan turut diperbaiki. Menurutnya, ada ketika mereka sukar untuk berbicara dalam gelanggang, namun kini pendekatan lebih positif berjaya diaplikasikan.

Meskipun begitu, pasangan yang kini berada di ranking kedua dunia tidak menafikan cabaran besar menanti. Aaron secara khusus menyebut dua pasangan beregu handalan dunia yang bakal menjadi ujian paling getir. “Lawan yang mencabar adalah dari China iaitu Liang Wei dan Kim (Won Ho), mereka boleh menjadi cabaran berat buat kami,” jelas Aaron.

Pasangan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, serta gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Sung Jae, dijangka menjadi antara penghalang utama jika mereka mahu melangkah jauh. Keupayaan lawan yang berada di puncak prestasi sudah tentu menuntut Aaron-Wooi Yik tampil dengan permainan tanpa kesilapan.

Kini, semua tumpuan terarah kepada sejauh mana pasangan beregu negara ini mampu mengulangi pencapaian gemilang mereka pada 2022. Dengan pengalaman, kematangan dan dorongan jurulatih berpengalaman, harapan penyokong negara tetap tinggi. Kejohanan Dunia BWF bakal menjadi pentas penentu sama ada Aaron dan Wooi Yik mampu membuktikan mereka masih berada dalam kelompok terbaik dunia.