Kejayaan Juara Dunia Tang Jie–Ee Wei tamat

Arena badminton dunia sekali lagi menyaksikan kebangkitan Malaysia apabila beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, meraih gelaran juara dunia di Paris pada Kejohanan Dunia 2025. Kejayaan yang berlangsung di Arena Adidas ini menjadi kenangan manis selepas mereka menundukkan gandingan pilihan kedua dunia dari China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin dengan kemenangan straight set 21-15, 21-14.

Namun, di sebalik sorakan dan kegembiraan peminat, muncul juga peringatan tegas daripada penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa. Menurut beliau, kejayaan ini hanyalah sebahagian kecil daripada perjalanan yang lebih panjang menuju misi utama – pingat emas Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Masih ada 24 bulan sebelum Olimpik berlangsung. Sepanjang tempoh ini, sekurang-kurangnya lapan pasangan beregu muda dari kuasa-kuasa besar badminton dunia seperti China, Jepun, Korea Selatan, Perancis, Denmark, Indonesia dan India akan muncul sebagai pencabar utama. Jadi mereka tidak boleh leka,” kata Sadek.

Sadek yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sukan UiTM menekankan tiga aspek utama yang harus diberi perhatian pasangan negara: mengekalkan momentum prestasi, memperbaiki kedudukan ranking dunia dan mengelakkan kecederaan. Menurut beliau, semua ini penting untuk memastikan Chen Tang Jie–Toh Ee Wei tidak terperangkap dalam undian kumpulan maut pada kejohanan besar mendatang.

Kemenangan pasangan negara ini turut dilihat sebagai bukti bahawa mereka kini lebih matang berbanding beregu campuran Malaysia sebelum ini. Sadek menilai prestasi mereka dalam perlawanan akhir cukup meyakinkan. “Beregu China kehilangan fokus, dan strategi permainan Malaysia yang banyak menggunakan drive serta permainan di jaring membuahkan hasil. Apa yang penting, mereka berjaya mengurangkan kesilapan mudah,” katanya.

Namun, beliau tidak menafikan bahawa selepas kejayaan besar, cabaran lebih getir bakal menanti. “Mereka kini menjadi sasaran. Setiap jurulatih lawan akan menganalisis corak permainan, mencari kelemahan dan cuba menewaskan mereka. Bulan madu sudah berakhir, yang menanti hanyalah persaingan lebih sengit,” jelas beliau.

Kejayaan Chen Tang Jie–Toh Ee Wei ini juga mengimbau kembali kejayaan Aaron Chia–Soh Wooi Yik yang bergelar juara dunia di Tokyo pada tahun 2022. Malaysia kini sekali lagi berdiri gah di pentas dunia, tetapi hala tuju lebih besar tetap menanti. Dalam masa dua tahun menuju Olimpik, pasangan negara ini perlu memastikan prestasi tidak menurun, malah semakin meningkat.

Momentum kemenangan di Paris wajar dijadikan batu loncatan. Dengan semangat kental, persiapan rapi serta sokongan berterusan, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei diyakini mampu menjadi pencabar serius di Olimpik Los Angeles 2028.