Komen tanpa berselindung Cklamovski selepas aksi berdepan Singapura

Skuad bola sepak Malaysia, Harimau Malaya, berjaya menewaskan Singapura 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 semalam, hasil sentuhan taktikal ketua jurulatih, Peter Cklamovski. Kemenangan ini membawa makna tersendiri selepas Malaysia sebelum ini dikecewakan lawan sama dalam saingan Piala ASEAN tahun lalu.

Perlawanan menyaksikan Stuart Wilkin membuka tirai jaringan sebelum Joao João Figueiredo menggandakan kedudukan. Singapura cuba bangkit menerusi jaringan Ilhan Fandi, namun usaha tersebut hanya mampu menghadiahkan gol saguhati kepada pasukan pelawat.

Berdasarkan statistik, Malaysia menguasai hampir keseluruhan perlawanan dengan merekodkan 16 percubaan, tujuh daripadanya tepat menuju gawang. Walaupun hanya dua gol terhasil, ia jelas menunjukkan kemampuan skuad negara mencipta banyak peluang.

Ketua jurulatih, Cklamovski, nyata gembira dengan persembahan dipamerkan. Menurutnya, kemenangan ini memberikan banyak pengajaran selain menambah keyakinan pemain. “Banyak yang boleh dipelajari. Malaysia mampu menghasilkan lebih banyak jaringan sekiranya peluang dimanfaatkan sebaiknya. Apa yang penting, kami mendapat kemenangan ini dan akan gunakan ia sebagai momentum menghadapi perlawanan berikutnya,” katanya selepas wisel penamat.

Beliau turut menekankan bahawa kekuatan mental yang dimiliki pemain kini berada pada tahap membanggakan. “Saya memuji mentaliti skuad ini. Mereka beraksi penuh inspirasi dan membawa pasukan ke arah lebih baik,” tambahnya lagi.

Peminat bola sepak tanah air turut menyambut baik kemenangan ini yang dilihat sebagai tanda positif perkembangan pasukan. Dengan semangat juang serta taktikal semakin mantap, Harimau Malaya diyakini mampu memberi saingan kompetitif menentang mana-mana lawan selepas ini.