Sudah lebih tiga bulan berlalu sejak kemenangan besar 4-0 Harimau Malaya ke atas Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun aura kemenangan itu masih dirasai. Penyokong bola sepak tanah air masih membicarakan detik bersejarah tersebut, yang dianggap antara kejayaan paling manis dalam perjalanan skuad kebangsaan ke arah Piala Asia 2027.
Kemenangan itu bukan sahaja menambah keyakinan kepada skuad kendalian Peter Cklamovski, malah mencetuskan gelombang semangat baharu dalam kalangan penyokong. Ia juga meletakkan jangkaan tinggi bahawa skuad negara perlu mengekalkan momentum dan konsistensi dalam setiap perlawanan yang dihadapi selepas ini.
Malam ini, Bukit Jalil sekali lagi akan menjadi saksi apabila Malaysia turun menentang Singapura dalam aksi persahabatan Tier 1. Perlawanan ini menggantikan penyertaan Malaysia dalam kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang dibatalkan bagi pasukan negara. Walaupun statusnya hanya persahabatan, nilai pertemuan ini tetap tinggi kerana ia melibatkan dua jiran serumpun yang berkongsi sejarah bola sepak panjang.
Pertemuan Malaysia menentang Singapura mungkin tidak setanding dengan perlawanan penuh rivaliti menentang Indonesia, namun ia masih dianggap klasik. Kedua-dua negara berkongsi perseteruan lama, menjadikan setiap pertemuan sarat dengan emosi dan semangat tersendiri. Dari aspek ranking, Malaysia kini di tangga ke-125 dunia, manakala Singapura jauh di belakang di kedudukan ke-159. Namun, ranking ini tidak menjamin kemenangan mutlak kerana rekod lalu menunjukkan segalanya boleh berlaku.
Kali terakhir Malaysia kecundang kepada Singapura adalah pada 26 Mac 2022 dengan keputusan 1-2. Namun selepas itu, Harimau Malaya bangkit mencatat kemenangan 4-1 sebelum kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan pada aksi seterusnya. Statistik ini memberi isyarat bahawa skuad negara tetap perlu berhati-hati dengan ancaman Singapura.
Prestasi semasa Malaysia berada pada tahap membanggakan. Tiga perlawanan antarabangsa rasmi tahun ini berakhir tanpa kekalahan, dengan hanya aksi tertutup menentang Cape Verde menyaksikan kekalahan 0-3. Konsistensi ini memberi keyakinan kepada penyokong bahawa skuad negara berada pada landasan betul.
Singapura pula hadir dengan rekod positif, meraih dua kemenangan dan satu seri dalam tiga perlawanan terakhir. Momentum ini memberi isyarat bahawa mereka tidak akan mudah mengalah, malah bersedia memberikan saingan hebat kepada skuad negara.
Selain mengejar mata ranking FIFA, aksi ini juga menjadi penanda aras untuk menilai sejauh mana skuad negara mampu beraksi di bawah tekanan tinggi. Selepas kemenangan besar menewaskan Vietnam, penyokong kini menuntut aksi berkualiti yang konsisten. Harapan tinggi ini perlu dijawab dengan prestasi meyakinkan di atas padang.
Cklamovski kini berdepan cabaran memastikan Harimau Malaya tidak menurun prestasi. Beliau sudah memberikan “hidangan mewah” kepada penyokong, dan kini tiada ruang untuk sekadar memberikan persembahan biasa. Hanya kemenangan mampu mengekalkan keyakinan dan sokongan penuh daripada peminat bola sepak negara.
Aksi menentang Singapura malam ini bukan sekadar ujian di padang, tetapi juga cerminan kepada hala tuju Harimau Malaya menjelang kempen Piala Asia 2027. Kemenangan akan membuktikan bahawa skuad negara bukan sekadar bernasib baik dalam perlawanan lalu, sebaliknya sudah benar-benar bersedia untuk mengukir kejayaan di peringkat lebih tinggi.