Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan muktamad memecat Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) daripada senarai ahli gabungan badan induk itu. Keputusan berkuat kuasa serta-merta itu diumumkan oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas mesyuarat keempat Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2025-2029.
Menurut Mohd Yusoff, FAM sebelum ini sudah memberi ruang yang secukupnya untuk PFA membuktikan keupayaan mereka. Tempoh enam bulan diberikan bagi menyelesaikan segala isu berbangkit termasuk krisis pengurusan dan masalah kewangan. Namun, setelah tempoh itu berakhir, tiada perubahan ketara berlaku.
“Enam bulan diberi bukan sekadar tempoh, tetapi peluang terakhir. Malangnya ia tidak digunakan sebaik mungkin oleh PFA,” kata beliau.
Pemecatan ini sekaligus menamatkan keanggotaan PFA yang telah lama terpalit dengan pelbagai kontroversi. Masalah dalaman yang tidak berkesudahan menjadikan persatuan itu gagal kembali stabil, walaupun diberi peluang oleh FAM.
Dalam masa sama, Yusoff menegaskan bahawa keputusan berkenaan tidak akan menjejaskan penyertaan pasukan dari Perlis dalam saingan liga. Katanya, hal ini kerana pasukan terbabit tidak bergantung kepada kelulusan PFA, lebih-lebih lagi persatuan itu telah digantung sejak 2019.
“Penyertaan pasukan bola sepak dari Perlis tidak akan terkesan. Liga tetap berjalan seperti biasa,” jelas beliau.
PFA sebelum ini digantung pada 4 Disember tahun lalu kerana gagal menjelaskan tunggakan gaji dan pampasan kepada bekas pengarah bola sepak mereka, Matt Holland. Jumlah tertunggak yang diperintahkan FIFA mencecah lebih RM998,000, namun PFA gagal menunaikan kewajipan tersebut.
Penggantungan itu adalah langkah pencegahan supaya FAM tidak dikenakan tindakan lanjut oleh FIFA. Sekiranya masalah dibiarkan berlarutan, FAM berisiko berdepan sekatan dana melalui program FIFA Forward.
Kini, dengan pemecatan rasmi ini, era keanggotaan PFA dalam keluarga bola sepak negara berakhir. Tindakan ini diharap menjadi pengajaran kepada semua ahli gabungan bahawa disiplin, tadbir urus, serta tanggungjawab kewangan adalah asas utama yang tidak boleh diabaikan.