TERKINI : Malaysia ‘mengamuk’ ratah Taiwan

Selepas berdepan detik sukar dalam aksi pembukaan, skuad hoki wanita negara tampil luar biasa apabila membelasah Taiwan dengan keputusan 11-1 dalam saingan Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita di Hangzhou, China. Kemenangan ini dianggap titik kebangkitan penting buat pasukan bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang dilihat beraksi dengan disiplin dan semangat juang tinggi.

Malaysia membuka perlawanan dengan tempo pantas. Gol pertama lahir seawal minit kedua hasil penyudah kemas Nur Afiqah Syahzani Azhar. Selang seminit kemudian, Nuramirah Shakirah Zulkifli menggandakan kelebihan. Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menyumbat gol ketiga pada minit kelapan. Pada penghujung suku pertama, Hanis Nadiah Onn turut menemui sentuhan jaringan pada minit ke-14, meletakkan Malaysia 4-0 di hadapan.

Suku kedua memperlihatkan ketajaman serangan skuad negara. Nuramirah sekali lagi mencatat gol peribadi pada minit ke-16, sebelum Shafika Mahd Sukri menyempurnakan peluang pukulan sudut penalti pada minit ke-21. Nur Afiqah menambah derita Taiwan dengan gol ketiganya pada minit ke-23. Dengan tujuh gol terhasil, Malaysia menutup babak pertama dengan penuh keyakinan.

Memasuki separuh masa kedua, rentak Malaysia tidak kendur. Khairunnisa menambah jaringan pada minit ke-32, diikuti Siti Nur Arfah Mohd Nor yang menjaringkan dua gol pada minit ke-36 dan 56. Menjelang tamat perlawanan, Nur Afiqah sekali lagi menjadi wira dengan gol minit ke-60, melengkapkan keputusan 11-1.

Taiwan hanya mampu mencatat satu jaringan saguhati pada minit ke-59 hasil penalti strok daripada Huang Yu-Ting.

Dalam reaksi selepas perlawanan, jurulatih negara jelas berpuas hati. “Alhamdulillah, kita berjaya menang hari ini. Kemenangan besar ini pasti akan meningkatkan motivasi pemain untuk menentang Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan esok,” ujar Nasihin dalam rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Kemenangan ini dianggap tonik terbaik buat Malaysia yang kini menumpukan perhatian kepada pertemuan menentang Korea Selatan. Kejayaan besar ke atas Taiwan memberi gambaran kemampuan sebenar pasukan serta keyakinan untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan.TERKINI : Malaysia ‘mengamuk’ ratah Taiwan