SUKAN

TERKINI : Malaysia tamatkan penantian lebih dua dekad

Harimau Malaya berjaya menamatkan penantian lebih dua dekad untuk menundukkan Palestin selepas meraih kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim. Gol tunggal pada perlawanan tersebut disumbangkan oleh Joao Figueiredo seawal minit ketiga hasil hantaran lintang Quentin Cheng.

Kemenangan ini amat bermakna kerana kali terakhir Malaysia menewaskan Palestin ialah pada tahun 2001, iaitu dalam aksi kelayakan Piala Dunia yang berakhir 4-3. Sejak itu, Harimau Malaya tidak pernah mencatat kemenangan menentang lawan dari Asia Barat tersebut. Malah, pada 2015, skuad negara pernah dimalukan dengan kekalahan besar 0-6 di Amman.

Pengendali pasukan, Peter Cklamovski, memilih untuk merombak kesebelasan utama dengan merehatkan beberapa pemain tonggak termasuk Jon Irazabal, Stuart Wilkin, Endrick Dos Santos dan Corbin Ong. Pertahanan kali ini diperkukuh oleh barisan tempatan, antaranya Shahrul Saad, Harith Haiqal, Dominic Tan dan Quentin.

Selepas gol awal Figueiredo, Palestin cuba mengatur serangan balas. Namun barisan pertahanan negara beraksi cemerlang mematahkan setiap percubaan. Pada minit ke-22, rembatan jarak jauh Shahrul hampir menambah jaringan, tetapi ditepis Rami. Palestin pula hampir menyamakan kedudukan tiga minit kemudian, namun percubaan Bader Mousa berjaya dinafikan Ahmad Syihan.

Arif Aiman yang lincah di bahagian sayap turut hampir menjaringkan gol kedua pada minit ke-27, tetapi sepakan lemahnya mudah ditangkap penjaga gol Palestin. Peluang keemasan juga hadir pada minit ke-35 apabila Palmero melepaskan rembatan deras, namun Rami sekali lagi cemerlang menyelamatkan gawang.

Separuh masa kedua menyaksikan kemasukan Corbin bagi menggantikan Dominic. Palestin menukar strategi dengan bermain lebih agresif. Malaysia pula mengekalkan disiplin taktikal, meskipun bahagian serangan agak tumpul. Palmero dan Holgado berulang kali cuba menembusi kubu Palestin, tetapi tidak berhasil.

Dalam baki 20 minit terakhir, Palestin jelas lebih banyak menguasai bola. Namun, Harimau Malaya kekal tenang mengawal keadaan sehingga tamat perlawanan.

Minit ke-79 menjadi detik bersejarah apabila pemain warisan Richard Chin akhirnya membuat penampilan pertamanya bersama pasukan kebangsaan. Pemain yang beraksi di Scotland itu menggantikan Quentin dan menerima tepukan gemuruh penyokong.

Kemenangan 1-0 ini membuktikan kebangkitan skuad negara dan menjadi penebus maruah selepas kekalahan besar pada 2015. Ia juga memberi keyakinan baharu kepada anak buah Cklamovski menjelang kejohanan akan datang.