Selangor FC serah kepada Faisal Halim buat keputusan

Kelab bola sepak Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada pemain sayap mereka, Faisal Halim, untuk menentukan sama ada mahu kembali beraksi atau terus diberikan ruang bertenang menjelang dua perlawanan penting.

Selangor akan turun menentang Malaysia University dalam saingan Piala FA hujung minggu ini, sebelum menghadapi cabaran getir berdepan Bangkok United dalam aksi pertama Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) minggu hadapan.

Faisal, 27 tahun, sebelum ini menyertai kem latihan Harimau Malaya dan diturunkan sebagai pemain gantian ketika Malaysia menewaskan Singapura 2-1. Namun, beliau tidak disenaraikan bagi aksi seterusnya menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim.

Di sebalik isu bola sepak, kehidupan peribadi pemain itu turut menjadi tumpuan apabila isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril, memfailkan permohonan cerai. Situasi ini menambah beban mental dan emosi buat Faisal yang kini berdepan keputusan besar sama ada mahu segera kembali atau menunggu masa sesuai.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, menegaskan pihak kelab akan terus memberikan sokongan padu.

“Kita akan beri sokongan penuh. Saya percaya Kinoshi juga akan beri sokongan penuh. Jadi, apa saja keputusan Faisal Halim, kita akan sokong,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Faisal sebagai seorang pemain yang kental dan sudah banyak kali membuktikan kemampuannya untuk bangkit selepas menghadapi cabaran.

“Kita semua tahu bagaimana kuatnya beliau, berapa kali beliau jatuh dan bangkit kembali. Jadi saya rasa beliau akan lalui perkara ini dengan baik,” katanya lagi.

Menurut Johan, keputusan sama ada Faisal turun dalam aksi Piala FA menentang Malaysia University hujung minggu ini bergantung kepada pemain itu sendiri.

“Pihak pengurusan dan ketua jurulatih prihatin dengan situasi semasa Mickey. Kami sentiasa berhubung dengan beliau dan bersedia memberi sokongan yang diperlukan,” jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa Faisal seorang yang cukup menyayangi keluarganya tetapi tetap profesional dalam kerjaya bola sepak. Justeru, Selangor akan terus berdiri teguh di belakang pemain itu.

“Beliau sangat sayang pada keluarganya tapi dalam masa sama profesional dalam kerjaya dan kelab akan beri sokongan penuh kepadanya,” kata Johan.

Dengan dua perlawanan penting menanti, tumpuan kini kepada Faisal Halim. Sama ada beliau kembali dalam aksi Piala FA atau menunggu ACL2 menentang Bangkok United, segalanya bergantung kepada keputusan peribadinya.

Apa pun keputusan yang dibuat, sokongan daripada kelab dan penyokong diyakini akan memberi kekuatan kepada Faisal untuk kembali memacu kejayaan Selangor FC.