Kempen Selangor FC (SFC) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) bermula dengan keputusan mengecewakan apabila skuad Merah Kuning tumbang 2-4 kepada Bangkok United dalam aksi pertama Kumpulan G yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Perlawanan ini hadir selepas satu lagi wakil Malaysia di pentas Asia, Johor Darul Ta’zim (JDT), turut kecundang 1-2 di tangan Buriram United dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), sehari sebelumnya. Kekalahan dua wakil negara itu jelas memberi tamparan hebat kepada reputasi bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa minggu ini.
Aksi di Petaling Jaya bermula dengan cukup rancak. Selangor mempamerkan corak permainan menyerang sejak awal, namun lawan lebih pantas menghukum. Pada minit ke-11, percubaan Ilias Alhaft yang ditepis Kalamullah Al-Hafiz tidak berjaya dibersihkan, lalu disambar semula pemain itu untuk gol pertama Bangkok United.
Hanya empat minit selepas itu, situasi bertambah buruk untuk tuan rumah. Hantaran lintang Jakappan Praisuwan ditanduk kemas Muhsen Al-Ghassani, sekali gus memberikan gol kedua kepada pasukan pelawat.
Walaupun tertekan, SFC bangkit dengan lebih bersemangat. Gol pertama mereka hadir pada minit ke-22 menerusi jaringan Chrigor Moraes yang menolak masuk hantaran Quentin Cheng. Gol tersebut kembali menaikkan moral pasukan tuan rumah yang cuba mengawal permainan.
Namun, kegembiraan itu hanya bertahan seketika. Percubaan Ilias sekali lagi memberi impak apabila bola terkena pertahanan SFC lalu melambung masuk ke gawang untuk kedudukan 3-1.
Ketika SFC cuba menyusun strategi, mereka ditimpa malang berganda. Pada minit ke-38, pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Seia Kunori. Insiden itu meletakkan SFC dalam kedudukan serba sukar, bermain dengan hanya 10 orang.
Memasuki babak kedua, skuad bimbingan tuan rumah tetap berusaha memburu gol walaupun beraksi dengan kekurangan pemain. Usaha mereka berhasil apabila pemain gantian, Aliff Izwan Yuslan, pantas menyambar bola tepisan penjaga gol lawan pada minit ke-72 untuk mengurangkan jurang jaringan.
Namun, harapan penyokong SFC untuk menyaksikan kebangkitan tidak kesampaian. Bangkok United terus menambah luka dengan gol keempat hasil sepakan Philippe Maia pada minit ke-83. Kedudukan 4-2 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memberikan tiga mata penuh buat wakil Thailand.
Dengan kekalahan ini, Selangor FC kini berdepan misi lebih mencabar apabila perlu bertandang ke gelanggang Lion City Sailors untuk aksi seterusnya. Bangkok United pula akan turun melayan kunjungan Persib Bandung.
Kekalahan ini membuktikan SFC perlu melakukan pembaikan segera dalam aspek pertahanan serta disiplin permainan sekiranya mahu terus bersaing di peringkat kumpulan.