Stadium Sultan Ibrahim kembali menjadi saksi kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila skuad Harimau Selatan melakar kemenangan meyakinkan 8-0 menundukkan Sabah dalam aksi Liga Super 2025/26, malam tadi. Kemenangan besar ini mengukuhkan rekod kemenangan ke-6 berturut-turut buat anak buah Xisco Munoz, yang sekali lagi membuktikan dominasi mereka di pentas domestik.
Perlawanan bermula dengan tempo pantas. Hanya pada minit keenam, Oscar Arribas membuka tirai jaringan selepas melepaskan rembatan deras yang gagal ditepis penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat. Gol awal itu memberi semangat kepada tuan rumah untuk terus menyerang tanpa henti.
Tidak menunggu lama, JDT menggandakan kelebihan menerusi penyerang prolifik, Joao Figueiredo, yang menjaringkan gol kedua pada minit ke-11. Beliau sekali lagi mencuri perhatian apabila menambah gol ketiga pasukan pada minit ke-23. Raul Parra kemudian menyempurnakan gerakan kemas rakan sepasukan untuk menambah jaringan keempat.
Saat permainan memasuki minit ke-45, Figueiredo melengkapkan hatrik sulungnya musim ini dengan rembatan tepat ke gawang lawan. JDT menamatkan babak pertama dengan kelebihan 5-0, sekaligus menunjukkan jurang besar antara kedua-dua pasukan.
Memasuki babak kedua, Sabah cuba tampil lebih kemas di barisan pertahanan. Namun, cabaran mereka tidak bertahan lama apabila insiden mengasari Bergson oleh R. Dinesh menghadiahkan penalti kepada tuan rumah. Bergson tidak mensia-siakan peluang itu untuk mencetak gol keenam JDT, yang juga merupakan jaringan peribadinya ke-107 dalam Liga Super. Catatan ini sekaligus meleburkan rekod 106 gol milik legenda, Indra Putra Mahayuddin.
Kejayaan tersebut semakin manis apabila Bergson menambah gol ketujuh pasukan pada minit ke-74 melalui tandukan bertenaga. Beliau kemudian memastikan kemenangan mutlak JDT selepas melengkapkan hatrik peribadi menjelang tamat perlawanan. Dengan itu, jumlah golnya kini mencecah 109, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super.
Kemenangan 8-0 ke atas Sabah ini membuktikan JDT masih berada di kelas tersendiri. Konsistensi prestasi dan ketajaman penyudah menjadi kunci utama yang menjadikan pasukan ini sukar digugat oleh mana-mana lawan. Dengan prestasi semasa, JDT terus membina momentum kukuh dalam usaha mempertahankan gelaran musim ini.