Keputusan mengejutkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan denda besar terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta menggantung tujuh pemain warisan Harimau Malaya telah mencetuskan rasa marah dan kesal Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menurut Hannah, keputusan berkenaan memberi impak mendalam bukan sahaja kepada tujuh pemain terlibat, malah turut menjejaskan keseluruhan skuad kebangsaan yang sedang dalam proses membina prestasi di pentas antarabangsa.
“Seperti ribuan peminat Harimau Malaya, saya turut berasa sedih dan marah apabila membaca keputusan FIFA ini. Tetapi, kita tidak boleh bertindak secara terburu-buru. Proses rayuan yang sedang dilakukan perlu diselesaikan sepenuhnya sebelum kita menentukan langkah seterusnya,” kata Hannah melalui hantaran di Insta Story.
Beliau turut menekankan komitmen kementeriannya dalam menjaga kebajikan semua atlet tanah air. “Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya tetap komited untuk menjaga hak setiap atlet Malaysia, tidak kira nama anda Azizul, Pearly, Thinaah, Pandelela, Gabriel atau Rodrigo,” ujarnya.
Hannah menjelaskan, KBS memandang serius keputusan FIFA ini, namun pada masa sama tetap menghormati hak FAM untuk mengemukakan rayuan. Bagi beliau, keutamaan ketika ini adalah memastikan proses rayuan disempurnakan dengan penuh profesionalisme.
“Proses rayuan bukan sekadar melibatkan tujuh pemain, tetapi menyentuh keseluruhan imej pasukan kebangsaan. Oleh itu, semua pihak mesti memastikan perjalanan rayuan berlangsung dengan penuh integriti dan telus, demi menjaga nama baik Malaysia,” tegas beliau.
Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengumumkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit selepas mereka didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam kenyataan rasmi, FIFA mendedahkan FAM menyerahkan dokumen tidak sah untuk membuktikan kelayakan pemain berkenaan bagi beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Disebabkan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (anggaran RM1.8 juta). Sementara itu, setiap pemain terbabit turut dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, dengan penguatkuasaan serta-merta.
Hukuman berat ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat bola sepak negara. Ramai bimbang ia akan melemahkan moral skuad Harimau Malaya, namun masih berharap FAM mampu mengemukakan rayuan yang kukuh demi mengurangkan kesan keputusan tersebut.
Situasi ini kini menjadi perhatian seluruh negara, dengan penyokong menantikan hasil rayuan FAM di peringkat FIFA.