SUKAN

Jika bukan kita , siapa lagi

Liridon Krasniqi, pemain naturalisasi Harimau Malaya, meluahkan rasa kecewa selepas FIFA mengenakan hukuman berat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara.

Menurut Liridon, keputusan itu bukan sahaja tidak masuk akal, malah dianggap sebagai satu bentuk penghinaan terhadap Malaysia, pemain kebangsaan dan penyokong setia tanah air.

“Sebagai bekas pemain yang pernah berjuang atas nama Malaysia, saya tidak sanggup melihat keputusan yang jelas tidak adil ini. Ia seolah-olah menafikan segala usaha yang dilakukan secara telus oleh pihak berwajib,” katanya menerusi satu kenyataan di InstaStory.

Liridon turut menekankan bahawa setiap proses pendaftaran dan kelayakan pemain telah dilakukan secara sah dengan pematuhan penuh terhadap syarat FIFA.

“Malaysia telah melakukan segalanya dengan betul. Semua dokumen lengkap, prosedur dipatuhi, dan kerjasama diberikan antara kerajaan, FAM serta FIFA sendiri. Pemain-pemain ini telah pun diluluskan. Jadi mengapa tiba-tiba keputusan berubah?” katanya.

Keputusan FIFA berpunca daripada dakwaan bahawa FAM melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan isu dokumen yang tidak sah. Laporan itu dikaitkan dengan aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Susulan kes tersebut, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta). Sementara itu, setiap pemain terbabit turut menerima hukuman denda CHF2,000 (RM10,560) serta penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Antara yang terjejas termasuklah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Liridon menganggap keputusan mengejut itu bukan sekadar isu teknikal, tetapi melibatkan soal maruah negara. Katanya, kebangkitan Harimau Malaya kini berdepan dengan cabaran daripada pihak tertentu yang mungkin tidak senang melihat kejayaan Malaysia.

Beliau juga mengakui peranan penting Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam memperjuangkan pembangunan bola sepak negara. Menurutnya, tanpa kepimpinan baginda, kemajuan liga tempatan dan skuad kebangsaan sukar dicapai.

Namun, kekecewaan beliau lebih tertumpu kepada sikap rakyat Malaysia sendiri yang kadangkala tidak bersatu ketika menghadapi cabaran luar.

“Ini bukan masa untuk berpecah. Sepatutnya semua pihak—rakyat, pemain, penyokong, media dan kerajaan—bersatu mempertahankan maruah bola sepak Malaysia,” tegasnya.

Beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus memberi sokongan kepada skuad kebangsaan meskipun berdepan dengan tekanan antarabangsa.

“Kepada rakyat Malaysia, inilah masanya kita berdiri teguh. Jangan tunduk kepada ketidakadilan. Kita mesti pertahankan maruah negara. Kita Malaysia, berani kerana benar,” ujarnya.