SUKAN

Kenapa FIFA tiba-tiba ubah keputusan

Ketika isu bola sepak tanah air terus menjadi perbincangan hangat, pemain naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi, memilih untuk tampil bersuara. Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘MatDon’ meluahkan pandangan peribadi menerusi Story Instagram, menyeru rakyat agar tidak berpecah dan terus memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan.

Dalam hantarannya, Liridon menjelaskan bahawa segala prosedur naturalisasi sudah dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Beliau mempertikaikan mengapa isu yang sebelum ini sudah diputuskan kini dibangkitkan semula sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong.

“Malaysia telah membuat segala perkara dengan betul. Setiap dokumen, prosedur dan langkah telah dipatuhi dengan kerjasama pihak kerajaan, FAM dan FIFA sendiri. Para pemain ini sudah pun diluluskan. Sekarang tiba-tiba keputusan diubah? Kenapa? Oleh siapa?” katanya.

Liridon turut menekankan kepentingan rakyat untuk bersatu tanpa mengira latar belakang. Bagi beliau, ini bukan masa yang sesuai untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya tempoh ini seharusnya digunakan untuk memperkukuh semangat kebangsaan dan berdiri di belakang skuad Harimau Malaya.

“Ini bukan masa untuk berpecah. Ini masanya untuk setiap rakyat Malaysia iaitu pemain, penyokong, media, kerajaan, semua untuk berdiri bersama. Jika kita tidak mempertahankan maruah kita sendiri, tiada siapa lagi yang akan melakukannya,” ujarnya.

Dalam nada penuh patriotik, beliau menambah bahawa skuad kebangsaan tidak boleh diganggu dengan tekanan luar. Rakyat perlu memberi sokongan jitu agar semangat pemain tidak luntur.

“Sokong pemain kita, pasukan kita dan bendera kita. Kita tidak akan biarkan tekanan daripada pihak luar hentikan kebangkitan Malaysia,” jelasnya.

Liridon, yang memperoleh kerakyatan Malaysia pada tahun 2020 selepas Mohamadou Sumareh, setakat ini telah mengumpul enam kaps bersama skuad negara. Kehadiran beliau dalam skuad Harimau Malaya sering dianggap sebagai suntikan pengalaman dan semangat baharu dalam usaha mengangkat nama bola sepak Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Pengamatan penganalisis bola sepak menunjukkan kenyataan Liridon bukan sekadar luahan emosi seorang pemain, tetapi simbol kepada tekad pemain naturalisasi untuk dilihat setara dengan pemain tempatan dalam mempertahankan panji negara. Sokongan moral sebegini dilihat penting bagi memastikan semangat perpaduan dalam pasukan dan kalangan penyokong tidak luntur.