SUKAN

Komen Pengendali JDT isu penalti kontroversi

Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Machida Zelvia FC pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. Jurulatih Harimau Selatan, Xisco Munoz, mengakui perlawanan tersebut tidak mudah apabila pasukannya berdepan kesukaran menyaingi corak permainan kelab dari Jepun itu.

Menurut beliau, sejak awal perlawanan lagi Machida tampil dengan gaya fizikal yang ketara, banyak menggunakan lambungan bola ke kawasan depan untuk memanfaatkan ketinggian dan kekuatan penyerang mereka. Situasi itu menyebabkan benteng JDT perlu lebih berwaspada dalam setiap perebutan bola udara.

“Pemain-pemain sudah memberikan sepenuh usaha. Kami juga sudah membuat persiapan menghadapi kelebihan lawan di posisi sayap kiri dan kanan. Namun saya akui babak pertama agak mencabar buat kami. Selepas rehat, corak permainan lebih teratur dan pasukan mula menemui rentak,” kata Munoz.

Bagi pengendali kelahiran Sepanyol itu, keupayaan lawan mengawal kawasan tengah menjadi faktor utama yang mengekang gerakan JDT. Beliau menyifatkan perlawanan berlangsung secara seimbang kerana kedua-dua pasukan saling bergilir menguasai tempo, sekali gus mencipta suasana yang penuh dramatik di atas padang.

Dari segi taktikal, Munoz menjelaskan Machida bijak menyesuaikan strategi dengan keadaan permainan. Mereka menggunakan tiga rangkaian serangan untuk menekan benteng tiga pemain utama JDT, manakala dua pemain tengah mereka memberi tekanan berterusan kepada jentera tengah tuan rumah.

“Setiap kali kami cuba menekan, mereka menukar pendekatan dengan menutup ruang setiap pemain kami. Itu menyukarkan pergerakan bebas, malah serangan balas mereka juga cukup pantas. Kelebihan fizikal pemain nombor 6, Henry Mochizuki, sering digunakan untuk mengganggu pertahanan kami,” ujarnya.

Isu turut menjadi perbincangan adalah keputusan pengadil dari Korea Selatan, Kim Jong-heok, yang menghadiahkan sepakan penalti kontroversi kepada Machida. Walaupun keputusan itu dipersoalkan ramai, Munoz tetap menghormati apa yang diputuskan.

“Bila bertemu pasukan yang hebat, segala kemungkinan boleh berlaku. Paling penting pemain tidak hilang fokus dan mengawal emosi selepas insiden tersebut. Momentum perlu dijaga agar permainan tidak terganggu,” tambahnya lagi.

Keputusan seri tersebut memberi pengajaran berharga kepada JDT yang kini semakin menyedari cabaran sebenar di pentas Asia. Munoz percaya pengalaman berdepan kelab Jepun itu akan membantu pasukannya memperbaiki corak permainan menjelang aksi seterusnya dalam ACLE.

Walaupun tidak berjaya mencatat kemenangan di hadapan penyokong sendiri, JDT jelas menunjukkan disiplin tinggi dan semangat melawan. Dengan baki saingan masih panjang, Harimau Selatan diyakini akan terus memperkukuhkan strategi bagi memastikan mereka kekal bersaing di peringkat tertinggi.