SUKAN

Saya tidak boleh persoal tentang itu — Christophe Gamel

Christophe Gamel, jurulatih sementara Selangor, mengakui bahawa tempoh persiapan yang singkat adalah cabaran utama menjelang aksi menentang Lion City Sailors dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) hari ini.

Selangor sebelum ini memulakan saingan dengan kekalahan di tangan Bangkok United dalam aksi pembukaan di laman sendiri ketika pasukan masih dipimpin oleh Kinoshi Katsuhito. Justeru, perlawanan menentang wakil Singapura ini dianggap sebagai peluang penting untuk Red Giants memperbaiki kedudukan.

“Saya hanya ada empat hari dengan pasukan serta satu perlawanan sahaja setakat ini. Itu belum cukup kerana dalam bola sepak masa sangat diperlukan untuk membentuk keseimbangan pasukan,” kata Gamel kepada media.

Beliau menekankan kepentingan motivasi dalam kalangan pemain agar kelemahan masa dapat diimbangi dengan semangat juang. “Pemain harus terus bersemangat, menyalurkan lebih banyak tenaga dan menggunakan motivasi sebagai pemangkin dalam perlawanan,” jelasnya lagi.

Perlawanan akan berlangsung di Stadium Bishan pada jam 6 petang. Gamel percaya bahawa anak buahnya mampu bangkit dan memberikan aksi terbaik demi tiga mata yang sangat penting.

“Saya percaya dengan mereka. Kami mahu meraih tiga mata penuh dan itu akan menjadi tumpuan utama kami. Kami juga akan cuba melakukan perubahan berdasarkan apa yang saya sempat lihat dalam beberapa hari ini,” tambah jurulatih kelahiran Perancis itu.

Biarpun berdepan kekangan masa, Gamel berpegang teguh pada keyakinan bahawa kerja keras serta disiplin mampu membantu Selangor mencari kemenangan pertama dalam kempen kali ini. “Sebagai jurulatih, saya tidak boleh mempertikaikan komitmen pemain. Apa yang penting adalah bagaimana kami menjadikan sasaran itu satu kenyataan,” katanya.

Harapan kini tertumpu kepada skuad Red Giants untuk membuktikan bahawa kekalahan lalu hanyalah permulaan sukar dan bukannya penghalang. Dengan pengalaman pemain serta bimbingan baharu, Selangor berpeluang memperlihatkan corak permainan lebih mantap dalam misi menghidupkan peluang di ACL2.