SUKAN

Herry jawab dakwaan isu luar gelanggang ganggu prestasi Aaron-Wooi Yik

Spekulasi mengenai punca kemerosotan prestasi jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, akhirnya terjawab. Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, tampil memberi penjelasan bahawa faktor sebenar yang menjejaskan pasangan nombor dua dunia itu bukanlah masalah peribadi, sebaliknya keletihan ekoran jadual kejohanan yang padat.

Menurut Herry, sejak tamat Kejuaraan Dunia di Paris pada Ogos lalu, kedua-dua pemain langsung tidak mendapat tempoh rehat yang mencukupi. Situasi itu menyebabkan mereka terpaksa berdepan keletihan melampau, sekali gus menghalang mereka daripada mempamerkan aksi terbaik.

“Memang ada penurunan prestasi selepas Kejuaraan Dunia. Mereka tidak cukup rehat dan latihan pun terhad. Malah, hanya sempat berehat beberapa hari sebelum ke Terbuka Hong Kong. Jadi memang benar kondisi mereka tidak berada pada tahap optimum,” jelasnya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Herry turut menolak dakwaan kononnya wujud gangguan luar gelanggang yang mengganggu fokus Aaron dan Soh. Katanya, tuduhan seperti itu tidak berasas kerana masalah sebenar lebih berkait rapat dengan faktor fizikal pemain.

Beliau mengingatkan bahawa aspek paling membimbangkan ketika ini ialah risiko kecederaan. Dengan jadual pertandingan yang padat, badan pemain terdedah kepada tekanan tinggi tanpa peluang pulih sepenuhnya.

“Risiko paling besar bila rehat tidak cukup adalah kecederaan. Itu yang kita mahu elakkan,” kata Herry lagi.

Pengendali berpengalaman itu menegaskan pihaknya kini lebih berhati-hati dalam mengatur program latihan, supaya tidak menambah tekanan kepada pemain. Keutamaan kini ialah memastikan Aaron dan Soh dapat pulih, seterusnya mengekalkan prestasi konsisten di pentas antarabangsa.

Aaron-Soh yang pernah menjulang gelaran juara dunia pada 2022 kekal antara pasangan beregu elit dunia. Namun, rentetan aksi kurang menyakinkan kebelakangan ini membuatkan peminat tertanya-tanya tentang punca sebenar. Kenyataan Herry sekaligus menjawab persoalan tersebut dengan penjelasan yang jelas dan telus.

Dalam dunia badminton profesional, isu jadual kejohanan padat bukanlah perkara baharu. Ia sering menjadi cabaran besar kepada pemain bertaraf dunia kerana kekangan masa rehat boleh memberi kesan langsung terhadap prestasi.

Kenyataan ini sekali lagi menekankan betapa pentingnya pengurusan jadual yang seimbang agar atlet tidak hanya cemerlang di gelanggang, tetapi juga terhindar daripada masalah kecederaan jangka panjang.