SUKAN

Holgado sah kembali ke Malaysia

Rodrigo Holgado, penyerang warisan yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya, kini berada di Malaysia bersama wakilnya. Kehadirannya dilaporkan bertujuan mencari jalan penyelesaian selepas digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pemain yang kini bersama kelab Colombia, America de Cali, dikenakan hukuman penggantungan 12 bulan. Bukan hanya Holgado, enam lagi pemain warisan turut menerima nasib yang sama. Mereka didakwa terbabit dalam isu pemalsuan dokumen yang dikaitkan dengan proses kelayakan.

“Rodrigo Holgado kini berada di Malaysia bersama wakilnya. Pemain America de Cali itu berangkat selepas dikenakan sekatan FIFA terhadap pasukan kebangsaan dan enam pemain lain. Penyerang itu berharap situasi tersebut dapat diselesaikan dengan mengambil kira tempoh 10 hari untuk melakukan rayuan,” tulis satu kenyataan di laman sosial X yang tular.

Berita mengenai hukuman tersebut nyata memberi tamparan hebat buat bola sepak Malaysia. Peminat mula melahirkan kebimbangan terhadap persiapan skuad kebangsaan yang kini sedang dalam perancangan menghadapi kejohanan penting.

Dalam pada itu, FAM menerusi kenyataan rasmi menegaskan pihaknya masih menunggu penghakiman penuh daripada FIFA. Hanya selepas dokumen rasmi itu diperoleh, barulah proses rayuan dapat dijalankan secara sah.

“FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada,” kata kenyataan berkenaan.

Badan induk itu juga mengakui bahawa terdapat kesilapan teknikal dalam penyerahan dokumen oleh kakitangan pentadbiran. Namun FAM menegaskan pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah, sekali gus menolak keraguan sesetengah pihak mengenai status mereka.

“FAM mengambil serius perkara ini. Bagaimanapun, FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” ujar kenyataan rasmi itu lagi.

Insiden ini membuka mata banyak pihak tentang keperluan prosedur yang lebih teliti agar isu teknikal tidak menjejaskan masa depan pemain. Bagi Holgado dan rakan-rakan, tempoh rayuan 10 hari menjadi peluang terakhir untuk membuktikan kelayakan mereka.

Dengan isu ini masih dalam proses perbincangan, masa depan beberapa tonggak skuad kebangsaan berada dalam keadaan tidak menentu. Peminat bola sepak tempatan kini hanya mampu menunggu perkembangan selanjutnya daripada FAM dan FIFA.