SUKAN

Peluang besar Aaron-Wooi Yik kaut RM158,130

Menjelang pembukaan Kejohanan Terbuka Artik di Finland esok, Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, melahirkan keyakinan bahawa pasangan utama Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, bakal mempamerkan kebangkitan selepas rentetan prestasi kurang memberangsangkan dalam beberapa siri kejohanan terakhir.

Menurut Herry, kejohanan berstatus Super 500 itu akan menjadi medan terbaik buat pasangan yang menghuni ranking kedua dunia itu untuk menebus kekecewaan selepas gagal menyerlah dalam Kejohanan Dunia, Terbuka Hong Kong serta Masters China.

“Selepas kembali dari China, mereka terus menyambung latihan seperti biasa. Saya lihat ada kesungguhan baharu dalam diri mereka. Harapan saya agar di Eropah kali ini, mereka mampu tunjukkan keputusan yang lebih baik,” ujar Herry optimis.

Beliau turut menegaskan bahawa motivasi dalam kalangan pemain kini semakin meningkat selepas mereka menyedari kelemahan yang perlu diperbaiki dalam tempoh latihan beberapa minggu lalu.

Dalam masa sama, Herry melihat peluang kejuaraan kali ini semakin terbuka buat Aaron-Wooi Yik berikutan ketiadaan beberapa gandingan utama dunia seperti pasangan nombor satu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, dan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, yang tidak beraksi di Finland.

Ketiadaan nama-nama besar itu memberi peluang besar kepada pasangan Malaysia untuk memburu kejuaraan pertama mereka selepas beberapa kali terhenti di peringkat separuh akhir dalam kejohanan bertaraf tinggi. Kemenangan di Finland bukan sahaja mampu mengembalikan keyakinan tetapi juga menawarkan hadiah lumayan bernilai AS$37,525 (RM158,130).

Walau bagaimanapun, Herry mengingatkan bahawa laluan ke pentas akhir bukan tugas mudah. Cabaran sebenar dijangka menanti di peringkat separuh akhir apabila mereka mungkin bertemu gandingan tangga kelima dunia dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang.

Statistik menunjukkan pasangan China itu memiliki kelebihan dengan lapan kemenangan daripada 11 pertemuan, tetapi Aaron dan Wooi Yik pernah menewaskan mereka di separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, April lalu.

Pasangan pilihan pertama kejohanan itu akan membuka kempen menentang gandingan Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard, yang kini berada di ranking ke-27 dunia.

Selain Aaron-Wooi Yik, Malaysia turut menghantar beberapa wakil lain termasuk pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, Mohd Haikal Nazri-Choong Hon Jian serta Low Hang Yee-Ng Eng Cheong.

Herry berharap semua wakil negara dapat memberi persembahan terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas Eropah kali ini.