SUKAN

Dakwaan FIFA tidak tepat — FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil memberikan penjelasan terperinci berhubung isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan yang dikaitkan dengan siasatan tatatertib oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, FAM menegaskan bahawa laporan yang menggambarkan seolah-olah wujud pemalsuan dokumen atau cubaan pemain mengelak peraturan kelayakan adalah tidak benar dan tidak berasas.

FAM menyatakan bahawa pihaknya telah menerima dokumen penuh penghakiman daripada FIFA berkaitan keputusan tatatertib itu, dan kini sedang menyiapkan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang antarabangsa yang sah.

“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti dikemukakan oleh FIFA untuk menyokong dakwaan pemalsuan tersebut. Semua dokumentasi dan proses pendaftaran pemain telah diurus sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur rasmi,” kata kenyataan itu.

FAM juga menambah bahawa semua bukti dan dokumen sokongan telah lengkap dan bersedia dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera. Badan induk itu melihat kes ini sebagai sesuatu yang perlu ditangani dengan penuh ketelusan agar nama baik bola sepak Malaysia tidak tercemar.

Dalam masa sama, FAM turut mengakui bahawa mereka memandang serius terhadap beberapa kesimpulan dalam laporan FIFA, khususnya dakwaan bahawa para pemain memperoleh dokumen secara tidak sah. Namun, FAM menolak dakwaan tersebut dengan alasan ia tidak disertakan bukti kukuh.

Sebelum ini, FIFA telah mengumumkan hasil siasatan penuh yang mendapati tujuh pemain warisan negara digantung kerana didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, membabitkan isu pemalsuan serta pengubahan dokumen rasmi.

FAM menegaskan bahawa para pemain berkenaan tidak mempunyai niat jahat, sebaliknya mereka hanya bergantung kepada proses rasmi yang diuruskan oleh FAM dalam mendapatkan kelulusan dan pengesahan kelayakan.

Menurut FAM lagi, pihaknya akan membawa isu ini ke peringkat rayuan rasmi dan menuntut agar semua fakta dikaji semula dengan adil. FAM menegaskan bahawa tanggapan terhadap pemain dan organisasi itu tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“FAM kekal komited mempertahankan kepentingan bola sepak negara serta hak semua pemain yang terbabit. Proses rayuan ini akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan mengikut saluran undang-undang yang ditetapkan,” jelas kenyataan rasmi tersebut.

Dalam kenyataan sama, FAM turut menjelaskan bahawa kes ini turut melibatkan maklumat rasmi daripada kerajaan Malaysia, termasuk berkaitan pengeluaran dan pengesahan pasport. Pihaknya memaklumkan bahawa sebarang pendedahan mengenai proses tersebut tanpa kebenaran adalah melanggar undang-undang.

“Selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, semua maklumat yang berkaitan mesti dirahsiakan. FAM terikat untuk menjaga integriti serta mematuhi undang-undang negara dalam mengendalikan kes ini,” kata kenyataan itu lagi.

Sebagai langkah berhati-hati, FAM menyatakan bahawa semua maklumat berkaitan hanya akan dikongsikan dengan pihak FIFA semata-mata bagi membantu menyelesaikan isu ini secara sah.