SUKAN

FIFA dedahkan kronologi permohonan FAM

FIFA secara rasmi mendedahkan kronologi penuh berhubung keputusan mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas mendapati terdapat pemalsuan dalam dokumen pendaftaran pemain kebangsaan.

Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” yang bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menyatakan hukuman tersebut dikenakan selepas mendapati pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang berkait dengan kesalahan memalsukan serta mengubah maklumat rasmi pemain.

Keputusan itu menamatkan spekulasi panjang peminat bola sepak tempatan yang tertanya-tanya tentang punca sebenar hukuman berkenaan, memandangkan semua tujuh pemain warisan berkenaan telah pun beraksi bersama skuad kebangsaan sejak Mac lalu tanpa halangan.

FIFA turut menjelaskan bagaimana permohonan asal yang dikemukakan FAM pada awalnya telah diluluskan berdasarkan maklumat dan dokumen yang diterima. Namun, selepas siasatan lanjut dijalankan, badan itu menemui percanggahan yang jelas dalam sijil kelahiran ahli keluarga pemain yang digunakan untuk proses kelayakan.

Laporan itu menyatakan bahawa pada 19 Mac 2025, FAM menghantar surat pertanyaan kepada FIFA mengenai pemain Hector Hevel dengan melampirkan sijil kelahiran datuknya yang dikatakan dilahirkan di Selat Melaka. Sehari kemudian, pada 20 Mac, satu lagi surat dikemukakan bagi pemain Gabriel Felipe Arocha dengan sijil kelahiran neneknya yang menunjukkan tempat lahir di Melaka.

FIFA kemudiannya memberi maklum balas pada 24 Mac dengan menyatakan Hevel layak, dan pada 6 Jun 2025 FAM mengemukakan beberapa lagi permohonan untuk pemain lain termasuk Garces, Holgado, Machuca, Figueiredo dan Irazabal.

Semua kes berkenaan direkodkan di bawah pelbagai rujukan termasuk FPSD-19517 hingga FPSD-19521, dan selepas beberapa semakan, kelayakan pemain-pemain tersebut disahkan.

Pada 10 Jun 2025, mereka diturunkan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di mana Malaysia menang besar 4-0. Kedua-dua Figueiredo dan Holgado masing-masing meledak gol pada minit ke-49 dan 59.

Namun, pada 11 Jun 2025, FIFA menerima laporan rasmi yang mempersoalkan kesahihan kelayakan beberapa pemain tersebut. Laporan itu mendakwa dokumen yang digunakan dalam proses naturalisasi mengandungi maklumat palsu mengenai tempat kelahiran datuk atau nenek mereka.

Siasatan dijalankan berdasarkan Artikel 30(1) dan 35(5) Kod Tatatertib FIFA (FDC). Hasilnya menunjukkan beberapa sijil kelahiran yang dikemukakan tidak sahih. Tempat kelahiran yang dinyatakan dalam dokumen berbeza daripada data asal.

Antaranya termasuk María Belen Concepción Martin yang dikatakan lahir di Melaka, sedangkan asalnya di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol. Carlos Rogelio Fernandez pula didakwa lahir di Pulau Pinang tetapi sebenarnya di Santa Fé de la Cruz, Argentina. Kes serupa turut berlaku terhadap Holgado, Machuca, Figueiredo, Irazabal dan Hevel.

FIFA kemudiannya memanggil FAM dan pemain untuk memberi penjelasan rasmi melalui prosiding tatatertib yang dibuka antara 22 dan 28 Ogos 2025. Mereka diberikan masa sehingga 22 September untuk mengemukakan jawapan sebelum keputusan muktamad dibuat pada 25 September 2025.

Hasil keputusan akhir menunjukkan FAM melanggar Artikel 22 FDC. Sebagai hukuman, FAM didenda CHF 350,000 (RM1.8 juta) iaitu CHF 50,000 bagi setiap pemain, sementara tujuh pemain berkenaan turut dikenakan denda CHF 2,000 (RM10,650) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.