SUKAN

Respon FAM selepas FIFA dedah punca 7 pemain warisan negara palsu

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak keras dakwaan yang dibuat oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan isu kelayakan tujuh pemain warisan negara. Badan induk bola sepak negara itu menyifatkan keputusan FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan pemain-pemain terbabit sebagai tidak adil dan tidak berasaskan bukti kukuh.

FIFA baru-baru ini telah mengeluarkan penjelasan terperinci mengenai keputusan hukuman yang dikenakan ke atas FAM. Pendedahan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kepimpinan FAM yang berpendapat bahawa kesimpulan dibuat Jawatankuasa Disiplin FIFA tidak tepat, terutama melibatkan dakwaan pemalsuan dokumen.

Menurut kenyataan rasmi FAM, badan itu amat memandang serius tuduhan berkenaan. “FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa pemain-pemain memperoleh dokumen yang dipalsukan atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan. FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini dikemukakan oleh FIFA,” ujar kenyataan tersebut.

FAM menjelaskan bahawa segala dokumen berkaitan kelayakan pemain telah disediakan dan disahkan sepenuhnya oleh pihaknya. “Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan. Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM,” katanya lagi.

FAM turut menyatakan bahawa dakwaan itu bukan sahaja mencemarkan imej organisasi, malah mengundang persepsi negatif terhadap pemain-pemain berkenaan. “FAM berpendapat bahawa gambaran ini adalah tidak tepat serta tidak adil, dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi. FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan.”

Menurut kenyataan itu lagi, FAM akan menggunakan segala saluran undang-undang yang diperuntukkan bagi memperjuangkan kes ini. Badan induk tersebut juga telah diarahkan menjawab dalam tempoh tiga hari mengenai sebab keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA sebelum menghantar rayuan rasmi dalam tempoh lima hari berikutnya kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Dalam laporan FIFA yang didedahkan, badan dunia itu menyenaraikan beberapa percanggahan dokumen kelahiran datuk dan nenek pemain berbanding maklumat yang dikemukakan oleh FAM. Antaranya melibatkan Maria Belen Concepcion Martin, yang menurut FAM lahir di Melaka, namun rekod FIFA menunjukkan beliau dilahirkan di Santa de la Palma, Sepanyol.

Perkara sama berlaku terhadap Carlos Rogelio Fernandez, di mana FAM menyatakan kelahiran di Pulau Pinang, tetapi rekod FIFA menunjukkan Villa Maria Selva, Argentina. Sementara itu, Omar Eli Holgado Gardon pula dikatakan lahir di George Town, namun FIFA merekodkan kelahiran di Caseros, Buenos Aires.

FIFA turut mendedahkan perbezaan untuk Concepcion Agueda Alaniz yang menurut FAM lahir di Pulau Pinang, tetapi dokumen FIFA menunjukkan Roldan, Argentina. Nair de Oliveira pula dikatakan berasal dari Johor oleh FAM, sedangkan dokumen FIFA menyebut Abre Campo, Brazil.

Gregorio Irazabal Lamiquiz yang disebut FAM lahir di Kuching, Sarawak, turut didapati oleh FIFA sebenarnya dilahirkan di Villa de Guernica y Luno, Sepanyol. Akhir sekali, bagi Hendrik Jan Hevel, dokumen FAM menyatakan kelahiran di Negeri-Negeri Selat, Melaka, namun FIFA melaporkan kelahiran di The Hague, Belanda.

FAM kini dalam usaha menyediakan rayuan rasmi bagi membersihkan nama baik organisasi dan pemain-pemain yang terlibat, selain menegaskan pendirian bahawa segala prosedur telah dipatuhi sepenuhnya.