SUKAN

Malaysia ‘setanding’ skuad layak ke Piala Dunia

Tanggal 29 Mei lalu, detik bersejarah tercatat buat bola sepak Malaysia apabila skuad Harimau Malaya berjaya mengekang cabaran pasukan handalan dari Afrika, Cape Verde, yang ketika itu berada di ranking ke-72 dunia. Pertembungan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi sengit sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Cape Verde mendahului seawal separuh masa pertama menerusi jaringan Sidny Lopes Cabral. Namun, semangat juang pemain Malaysia tidak pernah luntur. Paulo Josue yang dimasukkan sebagai pemain gantian menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan kira-kira sepuluh minit sebelum tamat permainan. Gol itu disambut sorakan gemuruh penyokong tempatan yang hadir, menghidupkan kembali semangat bola sepak tanah air.

Walaupun sekadar perlawanan persahabatan, keputusan seri itu memberi isyarat jelas bahawa Malaysia mampu bersaing dengan pasukan bertaraf tinggi. Ia juga menjadi petunjuk kepada peningkatan prestasi Harimau Malaya yang semakin mantap di bawah bimbingan jurulatih semasa.

Kini, selepas lima bulan berlalu, lawan yang pernah diikat Malaysia itu mencipta sejarah luar biasa. Cape Verde berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Eswatini 3-0. Kemenangan itu bukan sekadar memastikan tiket automatik, tetapi menandakan kejayaan besar buat sebuah negara kepulauan kecil di benua Afrika.

Dua jaringan awal daripada Dailon Livramento dan Willy Semedo membuka jalan kemenangan sebelum Stopira menambah gol ketiga di masa kecederaan. Sorakan bergema di stadium kebangsaan Cape Verde apabila pengadil meniup wisel penamat – satu detik yang membawa kegembiraan dan kebanggaan kepada seluruh rakyatnya.

Cape Verde, dengan populasi hanya 524,877 orang dan keluasan setanding bandar Sheffield, kini menjadi negara kedua terkecil pernah mara ke Piala Dunia selepas Iceland pada 2018. Bagi sebuah negara yang dua dekad lalu hampir tidak dikenali dalam arena bola sepak antarabangsa, pencapaian ini amat menakjubkan. Pada 1986, mereka baru menyertai FIFA dan hanya bermain purata dua perlawanan setahun. Menjelang 1990, mereka mula beraksi dalam kelayakan Piala Dunia meskipun berada di ranking ke-182 dunia.

Sejak itu, perjalanan mereka berubah arah. Melalui dasar merekrut pemain diaspora dari Portugal, Belanda, Perancis dan Ireland, kekuatan skuad mereka meningkat dengan mendadak. Hasilnya mula kelihatan pada 2013 apabila mereka layak ke Piala Negara Afrika buat kali pertama. Langkah berani itu menjadi asas kepada kejayaan besar yang dikecapi kini.

Pasukan kendalian Pedro Leitao Brito menamatkan kempen kelayakan Piala Dunia dengan tujuh kemenangan, dua seri dan hanya satu kekalahan – rekod mengagumkan bagi pasukan kecil seperti mereka. Kini, dunia memandang hormat kepada Cape Verde bukan hanya kerana kelayakan mereka, tetapi kerana ketabahan dan kecekalan membina pasukan yang kompetitif.

Bagi Malaysia, pengalaman berdepan pasukan seperti ini memberikan inspirasi dan keinsafan bahawa kerja keras serta perancangan jangka panjang mampu membuahkan hasil luar biasa. Seperti Cape Verde, Malaysia juga memiliki bakat diaspora di luar negara yang boleh dimanfaatkan. Kejayaan kecil ini – keputusan seri 1-1 – kini tampak lebih bermakna apabila lawan mereka menjadi antara negara terkecil di dunia yang layak ke pentas Piala Dunia.