Laman statistik bola sepak terkemuka dunia, Transfermarkt, kembali memaparkan bendera Malaysia pada profil tujuh pemain warisan yang sebelum ini digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berikutan dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran.
Tindakan ini melibatkan Facundo Garces, Gabriel Palmero, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Imanol Machuca dan Rodrigo Holgado. Kesemua mereka sebelum ini digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa susulan siasatan yang dijalankan FIFA terhadap dokumen kelayakan pemain warisan yang diserahkan oleh pihak Malaysia.
Menurut kemas kini terbaru di Transfermarkt, bendera Malaysia kini kembali berada di sisi nama tujuh pemain berkenaan. Ini sekali gus menandakan perkembangan positif terhadap status mereka selepas sebelum ini status kewarganegaraan mereka dibiarkan kosong dan dikategorikan sebagai “unknown nationality”.
Perubahan itu disambut dengan rasa lega oleh peminat bola sepak tempatan yang menganggap ia mungkin memberi isyarat bahawa proses rayuan yang dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang diberi perhatian oleh pihak FIFA.
FAM sebelum ini mengesahkan bahawa mereka telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA selepas mengenal pasti kesilapan teknikal ketika menghantar dokumen pemain warisan yang menyebabkan penggantungan dikenakan. Badan induk bola sepak negara itu turut menyatakan komitmen penuh untuk memperbetulkan kesilapan tersebut serta memastikan hak pemain-pemain berkenaan tidak diketepikan.
Sebelum ini, kesemua tujuh pemain itu telah beraksi di Liga Malaysia dan sebahagiannya juga pernah dipanggil menyertai latihan pusat Harimau Malaya. Namun, selepas siasatan FIFA mendapati terdapat percanggahan dalam dokumen asal, mereka digantung sementara daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Dengan kemas kini baharu Transfermarkt ini, pemerhati bola sepak tempatan melihatnya sebagai tanda awal bahawa status mereka mungkin sedang dinilai semula oleh pihak berkuasa. Ia sekaligus memberi sinar harapan baharu kepada skuad kebangsaan yang terjejas susulan kehilangan tujuh pemain berkualiti ini.
Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh FIFA mahupun Transfermarkt mengenai maksud sebenar kemas kini tersebut, perkembangan ini tetap dianggap penting kerana laman itu sering dijadikan rujukan utama dalam dunia bola sepak profesional.
Ramai pemerhati melihat langkah FAM mengemukakan rayuan sebagai tindakan tepat bagi memperjuangkan keadilan buat pemain-pemain tersebut. Ia juga membuktikan kesungguhan badan bola sepak negara dalam memastikan setiap proses dokumentasi dan pendaftaran berada dalam landasan yang sah.
Perkembangan positif ini sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada penyokong bahawa isu pemain warisan akan dapat diselesaikan dengan baik dalam masa terdekat. FAM pula terus menegaskan bahawa mereka akan memberi kerjasama penuh kepada FIFA dalam setiap proses yang sedang berlangsung.