SUKAN

TERKINI: Jawatankuasa Tatatertib FAM tentukan nasib Cklamovski

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk menentukan tindakan lanjut terhadap ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, susulan kenyataannya yang sebelum ini dikatakan mengkritik badan induk tersebut.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata beliau secara peribadi menerima permohonan maaf daripada jurulatih dari Australia itu. Namun, katanya, FAM beroperasi di bawah peraturan dan statut yang wajib dipatuhi oleh semua pihak termasuk jurulatih, pegawai, serta ahli gabungan.

“Kalau dulu orang akan sebut mengenai Artikel 88 apabila ada kritikan, dan ramai yang pernah dikenakan tindakan di bawah peruntukan itu. Kini, artikel itu telah dipinda kepada Artikel 91,” katanya.

Menurut Mohd Yusoff, walaupun beliau menerima permohonan maaf Cklamovski secara peribadi, isu tersebut masih tertakluk kepada peraturan organisasi. “Mungkin ada kekhilafan atau terlanjur kata, tetapi organisasi ini mempunyai peraturan yang perlu dihormati. Kami serahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk menilai kenyataan berkenaan dan mengambil langkah sewajarnya,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa Jawatankuasa Tatatertib merupakan badan bebas dalam FAM yang diberi mandat untuk meneliti sebarang isu melibatkan disiplin, termasuk kenyataan awam oleh mana-mana pihak berkaitan badan induk bola sepak negara itu.

Kenyataan Cklamovski yang dipetik selepas perlawanan menentang Laos di Vientiane, Khamis lalu, menimbulkan perhatian apabila beliau menyebut tentang kesilapan pentadbiran FAM ketika menyerahkan dokumen tujuh pemain warisan Malaysia kepada FIFA.

Namun, Cklamovski kemudian tampil memperjelas kenyataannya pada satu sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin lalu. Dalam penjelasan itu, beliau menafikan mempunyai niat untuk menyinggung atau tidak menghormati FAM dan meminta maaf sekiranya ada pihak terasa dengan ucapannya.

Sementara itu, Mohd Yusoff turut menjelaskan sebab FAM tidak segera mengeluarkan kenyataan balas selepas insiden tersebut. Menurutnya, tindakan itu dibuat bagi menjaga keharmonian pasukan yang sedang bersiap sedia menghadapi Laos dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.

“Selepas kenyataan itu dibuat, ramai menjangkakan FAM akan membalas dengan cepat. Namun, kami mengambil pendekatan menenangkan keadaan kerana tumpuan utama ialah persiapan pasukan. Kami tidak mahu suasana kelam-kabut yang boleh menjejaskan fokus pemain dan jurulatih,” katanya.

Beliau menambah, keutamaan FAM ketika itu adalah memastikan skuad kebangsaan berada dalam keadaan tenang dan bersatu menjelang perlawanan penting di Stadium Nasional malam tadi.

“Bagi kami, keharmonian dan kesejahteraan pasukan lebih penting daripada segala-galanya. FAM tidak mahu isu ini mengganggu perjalanan kem latihan dan fokus pemain,” jelas beliau.

Langkah FAM menyerahkan kes berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib dianggap satu pendekatan profesional dan telus bagi mengekalkan integriti organisasi serta memastikan keadilan dalam setiap tindakan yang diambil terhadap mana-mana individu di bawah bidang kuasanya.