SUKAN

TERKINI : Satu lagi pasukan buat aduan rasmi kepada FIFA Terhadap Malaysia

Kisah mengenai status kelayakan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kini mencetuskan kebimbangan besar dalam arena bola sepak negara. Isu ini berpunca daripada dakwaan pemalsuan dokumen yang dikatakan melibatkan beberapa pemain warisan dan berpotensi memberi kesan langsung terhadap kedudukan Malaysia dalam Kelayakan Piala Asia.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) telah membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), dengan mendesak agar kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Mac lalu dibatalkan. Aduan itu difailkan susulan pendedahan bahawa salah seorang penjaring gol Malaysia, Hector Hevel, disahkan tidak layak beraksi dalam perlawanan berkenaan. The Guardian melaporkan bahawa aduan tersebut berpotensi menyebabkan keputusan kemenangan itu dibatalkan sekiranya FIFA memutuskan ia sahih.

Sekiranya keputusan memihak kepada Nepal, Harimau Malaya berisiko kehilangan mata penting yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk mara ke saingan utama Piala Asia. Perkara ini bukan mustahil, memandangkan kes seumpama itu pernah berlaku terhadap Timor Leste pada tahun 2017, apabila mereka disabitkan bersalah menggunakan pemain tidak layak dan dilarang menyertai Piala Asia 2023.

Pada 26 September lalu, FIFA melalui Jawatankuasa Disiplinnya mengumumkan bahawa tujuh pemain warisan Malaysia – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano – digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. FAM turut dikenakan denda yang perlu dijelaskan dalam tempoh ditetapkan.

Badan induk bola sepak negara itu kini berada dalam fasa rayuan. Mereka mempunyai tempoh lima hari untuk memfailkan rayuan pertama kepada FIFA. Jika keputusan rayuan tidak memihak kepada FAM, mereka masih boleh memohon alasan penghakiman rasmi atau “motivated decision” dalam masa 10 hari. Selepas itu, FAM mempunyai masa 21 hari lagi untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Namun, situasi menjadi lebih rumit apabila FAM turut berdepan kemungkinan tindakan tambahan daripada Jawatankuasa Tribunal Bola Sepak FIFA yang akan menentukan status sebenar kelayakan tujuh pemain tersebut. Setakat ini, belum ada keputusan muktamad mengenai implikasi langsung terhadap kedudukan Malaysia, tetapi ramai menjangkakan kesannya amat besar sekiranya rayuan ditolak.

Krisis ini menimbulkan perdebatan hebat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Ada yang menyalahkan FAM kerana didakwa tidak membuat penelitian mendalam terhadap status pemain warisan, manakala sebahagian lain meminta agar masyarakat memberi ruang kepada badan itu untuk menjalankan proses rayuan secara profesional.

FAM dilaporkan sedang bekerjasama dengan pasukan peguam antarabangsa untuk menyediakan dokumen dan bukti yang dapat memperkukuh hujah mereka di peringkat rayuan. Sumber juga menyatakan bahawa FAM telah berhubung dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapatkan pandangan awal mengenai kesan terhadap kedudukan Malaysia dalam kelayakan sekiranya keputusan FIFA kekal.

Sekiranya keputusan berpihak kepada Malaysia, ia bukan sahaja menyelamatkan maruah bola sepak negara, tetapi juga memberi isyarat bahawa sistem pertahanan dokumen pemain negara berada di landasan yang betul. Namun, jika keputusan sebaliknya berlaku, reputasi bola sepak Malaysia bakal terjejas di mata dunia dan memberi kesan langsung kepada moral skuad Harimau Malaya yang sedang dalam usaha membina semula kekuatan mereka di pentas Asia.

Perkembangan kes ini menjadi perhatian utama media antarabangsa, apatah lagi selepas The Guardian melaporkannya secara terbuka. Dalam masa sama, penyokong setia Harimau Malaya berharap agar rayuan FAM diterima bagi mengelakkan sebarang penggantungan tambahan atau penyingkiran daripada saingan antarabangsa.