SUKAN

Indonesia ‘pecat’ Kluivert

Perjalanan Patrick Kluivert sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak Indonesia berakhir lebih awal daripada dijangka apabila beliau dan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) bersetuju untuk berpisah secara baik. Keputusan itu dibuat tidak lama selepas kegagalan pasukan kebangsaan menempah tiket ke Piala Dunia yang bakal berlangsung di Amerika Utara tahun depan.

Kekalahan kepada Iraq dan Arab Saudi dalam aksi kelayakan minggu lalu menjadi punca utama yang menamatkan impian Indonesia untuk beraksi di pentas bola sepak terbesar dunia itu. PSSI dalam kenyataan rasmi memaklumkan keputusan ini diambil secara bersama sebagai langkah penilaian semula terhadap hala tuju bola sepak kebangsaan.

“Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Indonesia secara rasmi bersetuju menamatkan kerjasama ini lebih awal melalui persetujuan bersama. Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada penilaian menyeluruh terhadap program kejurulatihan dan pembangunan bola sepak kebangsaan,” menurut kenyataan tersebut.

Kluivert, legenda bola sepak Belanda yang berusia 49 tahun, baru sahaja dilantik Januari lalu dengan kontrak dua tahun. Namun, tempoh singkat itu hanya menyaksikan beliau mengendalikan lapan perlawanan bersama skuad Garuda, mencatat tiga kemenangan, empat kekalahan dan satu seri.

Beliau mengambil alih tugas jurulatih selepas penyingkiran Shin Tae-yong dari Korea Selatan, yang sebelum ini dikritik kerana beberapa keputusan kontroversi. Walaupun harapan tinggi disandarkan kepada bekas penyerang AC Milan dan Barcelona itu, prestasi skuad kebangsaan tidak menunjukkan peningkatan ketara.

Sebagai pemain, Kluivert pernah menikmati kejayaan besar di Eropah. Beliau memulakan karier profesional bersama Ajax Amsterdam dan berjaya membantu pasukan itu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sebelum berpindah ke AC Milan dan kemudian Barcelona, di mana beliau menjadi antara penyerang paling berbisa di dunia pada era tersebut.

Namun, kehebatannya di padang tidak diterjemahkan dalam kerjaya kejurulatihan. Selain Indonesia, beliau pernah membimbing kelab Turki, Adana Demirspor pada tahun 2023 dan pasukan kebangsaan Curacao pada 2021. Beliau turut pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Louis van Gaal dalam skuad Belanda antara 2012 hingga 2014.

Dalam pada itu, PSSI tidak menamakan pengganti baharu bagi menggantikan tempat Kluivert. Badan induk bola sepak Indonesia itu dijangka membuat penilaian lanjut sebelum melantik jurulatih tetap bagi meneruskan program pembangunan skuad kebangsaan.

Pemergian Kluivert menandakan satu lagi perubahan besar dalam perjalanan skuad Garuda yang kini perlu membina semula semangat dan strategi menjelang kempen seterusnya.