SUKAN

Pertembungan di Chengdu beri senario yang kurang enak buat JDT

Pasukan gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), masih mencari kemenangan pertama dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini apabila akan berdepan cabaran getir menentang Chengdu Rongcheng dari China di Stadium Kompleks Sukan Wuliangye, esok.

Setakat dua perlawanan pertama, anak buah Xisco Munoz hanya mengutip satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan menentang Machida Zelvia selepas tewas 1-2 kepada Buriram United pada aksi pembukaan. Rekod itu nyata bukan sesuatu yang diharapkan oleh penyokong tegar Harimau Selatan yang menaruh harapan tinggi terhadap pasukan kesayangan mereka di pentas tertinggi Asia.

Situasi ini agak berbeza berbanding musim lalu apabila JDT memulakan kempen dengan langkah kanan, mengutip empat mata daripada dua perlawanan pertama. Namun, pada musim ini prestasi mereka agak hambar, dan masih tercari-cari ramuan kemenangan yang mampu mengembalikan keyakinan pasukan.

Aksi di Chengdu dianggap satu lagi ujian berat buat JDT yang sering berdepan cabaran apabila beraksi di tempat lawan. Statistik menunjukkan bahawa rekod mereka di gelanggang lawan dalam saingan ACLE tidak begitu meyakinkan.

Daripada empat perlawanan di tempat lawan musim lalu, hanya satu kemenangan berjaya dicatatkan. Selebihnya berakhir dengan keputusan yang mengecewakan — termasuk seri 2-2 menentang Shanghai Port, serta kekalahan 1-3 kepada Gwangju FC dan 0-1 kepada Shandong Taishan sebelum keputusan tersebut dibatalkan AFC.

Kemenangan tunggal di tempat lawan ketika menewaskan Central Coast Mariners 2-1 membuktikan JDT sebenarnya mampu bersaing di luar gelanggang sendiri. Namun, prestasi tidak menentu dan kekurangan penyudah tajam sering menjadi penghalang untuk mengekalkan momentum kemenangan di pentas Asia.

Kali ini, JDT perlu memperbetulkan kelemahan tersebut. Dengan kedudukan mereka di tangga ke-10 zon Timur, sebarang keputusan negatif akan mempersulitkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati yang hanya menempatkan lapan pasukan terbaik.

Namun begitu, semangat tinggi dalam saingan domestik diharap dapat memberi inspirasi. Rekod tujuh kemenangan berturut-turut dalam Liga Malaysia menjadi bukti kemampuan sebenar skuad ini. Andai momentum itu dapat diterjemahkan dalam perlawanan esok, peluang mereka untuk meraih tiga mata pertama di ACLE masih cerah.

Kini, cabaran sebenar buat Munoz dan barisan kejurulatihan adalah memastikan strategi yang digunakan lebih tersusun, sambil mengekalkan disiplin pertahanan yang lebih kemas. Keputusan seri tanpa jaringan menentang Machida Zelvia menunjukkan peningkatan di bahagian pertahanan, namun barisan serangan masih perlu tajam jika mahu menewaskan Chengdu Rongcheng di hadapan penyokong lawan.

Misi mendapatkan kemenangan pertama bukan hanya soal maruah, tetapi menjadi kunci untuk memastikan JDT kekal relevan dalam persaingan kumpulan. Sekiranya berjaya, kemenangan ini mampu menjadi titik kebangkitan untuk kempen Asia mereka yang sebelum ini agak hambar.